Lebihan daging korban perlu dijelaskan, elak isu jejas amanah

Lebihan daging korban perlu dijelaskan, elak isu jejas amanah

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kampot (Kemboja): Isu lebihan atau ‘surplus’ dalam pengurusan ibadah korban perlu dijelaskan secara telus kepada peserta bagi mengelakkan sebarang salah faham berkaitan amanah dan kepercayaan.

Naib Presiden Eksekutif Syariah Kumpulan Bank Rakyat, Mohd Zamerey Abdul Razak berkata, pelaksanaan korban secara wakalah menjadikan peserta sebagai pihak yang melantik pengurusan sebagai wakil untuk menguruskan pembelian haiwan korban serta pelaksanaan ibadah itu.

Katanya, dalam konsep itu, dana yang disumbangkan peserta kekal sebagai amanah dan tidak boleh dianggap milik mutlak pihak pengurusan tanpa penjelasan.

“Dalam konsep ini, peserta wakilkan kita untuk uruskan korban. Jadi duit itu sebenarnya amanah peserta.

“Sebarang lebihan daripada kos sebenar perlu dimaklumkan kepada peserta dan tidak boleh digunakan tanpa persetujuan terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui pada Program Kembara Korban Kemboja 2026 anjuran Bank Rakyat di Mahaad Imam Syafi’e, Kampung Keh, di sini, hari ini.

Menurutnya, peserta perlu diberi pilihan sama ada lebihan itu dipulangkan, dijadikan upah pengurusan atau disalurkan sebagai sedekah.

“Bila ada ‘surplus’ (lebihan) daging korban, kita kena tanya peserta. Nak pulangkan, nak jadikan upah atau nak sedekah. Semua kena ada izin,” katanya.

Beliau berkata, kegagalan menjelaskan perkara itu boleh menimbulkan persepsi negatif serta menjejaskan ketelusan pengurusan ibadah korban.

“Kalau tak jelaskan, peserta boleh tak tahu langsung wujud lebihan. Itu yang boleh jadi isu,” katanya.

Beliau berkata, masih ramai peserta tidak menyedari wujudnya isu lebihan dalam pengurusan korban sekali gus perlu diberi penerangan lebih jelas.

Katanya, ketelusan amat penting kerana ia melibatkan ibadah dan kepercayaan masyarakat terhadap institusi pengurusan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top