LATEST

Lelaki khayal dadah ditahan ceroboh Wisma Darul Aman

Lelaki khayal dadah ditahan ceroboh Wisma Darul Aman

ALOR SETAR: Polis menahan seorang lelaki dipercayai menceroboh bangunan Wisma Darul Aman sebelum mengacukan pisau kepada pengawal keselamatan dalam kejadian di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 8.10 pagi itu, suspek yang berusia 45 tahun dikatakan memasuki kawasan bangunan pentadbiran kerajaan negeri dengan menunggang motosikal tanpa berhenti untuk menjalani pemeriksaan di pos pengawal keselamatan.

Baca juga: BERSAMA tolak politik identiti dibawa UMNO-PAS, DAP – Rafizi

“Pengawal keselamatan yang menyedari kejadian itu kemudian mengejar dan menahan lelaki terbabit bagi mendapatkan penjelasan mengenai tujuan kehadirannya di kawasan berkenaan.

“Bagaimanapun, suspek bertindak mengeluarkan sebilah pisau kecil berwarna hitam dari poket seluar sebelah kanan sebelum menunjukkannya ke arah pengawal keselamatan dan rakan sekerjanya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Tambah beliau, suspek kemudian cuba melarikan diri namun berjaya ditahan oleh pengawal keselamatan berkenaan bersama beberapa rakan sekerjanya sebelum pihak polis dihubungi untuk tindakan lanjut.

“Sebilah pisau berukuran kira-kira 15 sentimeter berserta sarung diserahkan pengadu kepada polis untuk tindakan lanjut. Suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau itu kemudian dibawa ke Balai Polis Alor Setar untuk siasatan.

“Bagaimanapun semasa tangkapan suspek berada dalam keadaan khayal dipercayai di bawah pengaruh dadah. Ujian saringan air kencing terhadap suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine,” ujarnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958. – UTUSAN

The post Lelaki khayal dadah ditahan ceroboh Wisma Darul Aman appeared first on Utusan Malaysia.

Latest news