am@hmetro.com.my
Tawau: Polis menahan seorang lelaki warga asing dipercayai terbabit kes rogol remaja perempuan di kawasan perumahan pekerja sebuah ladang dekat sini, kelmarin.
Kejadian dipercayai berlaku ketika remaja berusia 17 tahun itu sedang berjalan selepas pulang dari kenduri kahwin.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, mangsa didakwa ditahan sebelum ditarik masuk ke dalam rumah suspek yang dikenalinya dan diserang secara seksual.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, laporan polis berhubung kejadian dibuat oleh bapa tiri mangsa jam 12.55 tengah malam tadi selepas dimaklumkan mengenai insiden berkenaan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek dipercayai menutup mulut mangsa menggunakan kain bagi menghalangnya daripada menjerit sebelum merogol remaja itu.
“Susulan laporan diterima, sepasukan polis bersama anggota polis bantuan Sabah Softwood Berhad mengesan suspek.
“Susulan itu, seorang buruh lelaki warga asing berusia lingkungan 20-an diberkas jam 12.10 tengah malam di hadapan kawasan perumahan pekerja di Brumas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jasmin berkata, polis turut merampas beberapa barang kes dipercayai digunakan ketika kejadian termasuk pakaian dan tilam bagi membantu siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




