Petaling Jaya: Jauh dari kesibukan dewan kuliah dan hiruk-pikuk ibu kota, sekumpulan mahasiswa Universiti Malaya (UM) memilih untuk membawa misi kemanusiaan dan dakwah ke pelosok Sabah menerusi Program Mahabbah Care4Ummah (PMC) 7.0 yang berlangsung pada 24 hingga 28 April lalu di sekitar Kota Marudu dan Pitas.
Seramai 24 mahasiswa di bawah anjuran Lajnah Pengurusan Muamalat, Jabatan Pengurusan dan Kewangan Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (APIUM) dengan kerjasama strategik NGO Care4Ummah telah menjayakan program bertemakan “Bersama Ummah, Menyemai Mahabbah” ini bersama beberapa rakan kolaborasi seperti Hidayah Centre Foundation (HCF), Pertubuhan Kebajikan Al-Fateh Sabah (PKAS), YADIM dan JHEAINS.
Menurut Pengarah Program PMC 7.0, Muhammad Danial Zulkarnain, program ini bukan sekadar sebuah misi sukarelawan biasa, sebaliknya menjadi wadah untuk mahasiswa mendekati masyarakat serta memahami realiti kehidupan komuniti pedalaman dengan lebih dekat.
“Kami datang bukan hanya untuk menyampaikan ilmu, tetapi juga untuk belajar daripada masyarakat di sini tentang nilai kesederhanaan, keikhlasan dan kekuatan ukhuwah. PMC 7.0 benar-benar mengajar kami bahawa dakwah itu perlu hadir dengan kasih sayang dan sentuhan hati,” katanya.
Program dimulakan di Pondok Fii Dzilalil Quran melalui modul kepimpinan “The Next Al-Fateh” yang memberi penekanan kepada pembinaan jati diri dan kepimpinan dalam kalangan pelajar pondok. Para peserta diberi pendedahan tentang pentingnya menjadi generasi muda yang bukan sahaja berilmu, malah mampu memimpin masyarakat pada masa hadapan.
Pengisian diteruskan di Masjid Al-Firdaus dan Surau An-Nur menerusi pelbagai bengkel ibadah seperti wuduk, solat, azan, Tahsin Al-Fatihah dan pengurusan jenazah yang mendapat sambutan amat menggalakkan daripada penduduk setempat.
Bagi menarik minat kanak-kanak mendekati al-Quran, program Little Qari turut diadakan dengan pendekatan yang lebih santai dan menyeronokkan. Melalui aktiviti interaktif ini, kanak-kanak diperkenalkan dengan huruf hijaiyah dan asas bacaan al-Quran dalam suasana ceria dan penuh galakan daripada para fasilitator mahasiswa.
Program turut diserikan dengan aktiviti sukaneka yang melibatkan kanak-kanak dan penduduk kampung. Aktiviti ini bukan sahaja menceriakan suasana, malah mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara mahasiswa dan masyarakat setempat dalam suasana penuh ukhuwah dan kebersamaan.
Selain itu, program turut dimeriahkan dengan dua pertandingan utama iaitu pertandingan tilawah al-Quran dan pertandingan azan yang memberi peluang kepada peserta menonjolkan bakat serta meningkatkan keyakinan diri dalam menghayati syiar Islam.
Dalam masa yang sama, aspek kebajikan masyarakat tidak pernah diketepikan. Para sukarelawan turun padang menziarahi penduduk di beberapa kampung termasuk Kampung Kuranji, Kampung Tagaroh dan Kampung Tanjung Layak-Layak bagi menyampaikan Pek Makanan dan bantuan keperluan asas.
Menurutnya lagi, program ziarah mahabbah membuka mata mereka tentang erti sebenar kesyukuran dan pengorbanan. “Walaupun hidup dalam serba sederhana, mereka sangat pemurah dengan senyuman dan layanan. Kami datang untuk memberi, tetapi sebenarnya kami yang menerima terlalu banyak pengajaran sepanjang berada di sini,” ujarnya.
Namun, di sebalik seluruh pengisian program, Allah SWT menghadiahkan satu detik yang paling menyentuh hati seluruh peserta.
Peristiwa penuh bermakna itu berlaku di Masjid At-Taqwa ketika berlangsungnya Forum Halaqah bertajuk “Ketenangan Hidup dalam Islam” yang menampilkan Dr. Asmuliadi Lubis sebagai salah seorang panelis.
Segalanya bermula apabila seorang wanita tempatan hadir ke masjid selepas tersalah masuk simpang sewaktu pulang dari kedai dobi. Beliau yang melihat suasana masjid dipenuhi orang ramai kemudian memberanikan diri untuk singgah dan bertanya sama ada boleh menyertai program tersebut.
Tanpa disangka, pertemuan ringkas bersama dua mahasiswi UM, Saudari Husna dan Alya di meja pendaftaran akhirnya menjadi titik permulaan kepada sebuah hidayah.
Menurut wanita tersebut, beliau sebenarnya sedang mencari ketenangan hidup dan berasa tertarik untuk mendengar pengisian halaqah pada malam itu. Forum yang membicarakan tentang ketenangan jiwa dalam Islam nyata menyentuh hatinya sehingga beliau mengambil keputusan untuk memeluk agama Islam setelah berakhirnya majlis penutup program.
Detik syahadah yang penuh syahdu itu disaksikan oleh Penasihat Program, Prof. Madya Dr. Mohd Abd Wahab Fatoni bin Mohd Balwi, Dr. Asmuliadi Lubis, pihak JHEAINS serta seluruh jawatankuasa PMC 7.0 dalam suasana penuh linangan air mata dan rasa syukur.
Mengulas mengenai peristiwa tersebut, Muhammad Danial menyifatkannya sebagai hadiah paling bermakna sepanjang penganjuran PMC 7.0. “Kami tidak pernah menyangka program ini akan menjadi asbab kepada hidayah seseorang. Ia benar-benar mengingatkan kami bahawa dakwah itu bukan sekadar kata-kata, tetapi tentang akhlak, layanan dan kasih sayang yang ditunjukkan kepada orang lain,” katanya lagi.
Bagi para mahasiswa, PMC 7.0 bukan sekadar program khidmat masyarakat, tetapi sebuah “madrasah kehidupan” yang mengajar mereka tentang nilai kemanusiaan, kesabaran dan makna sebenar pengorbanan.
Sesungguhnya, perjalanan dari dewan kuliah ke pelosok Sabah ini membuktikan bahawa mahasiswa bukan sahaja mampu cemerlang dalam akademik, malah berupaya menjadi agen perubahan masyarakat yang menyebarkan cahaya ilmu, kasih sayang dan rahmat Islam kepada ummah.
Maklumat lanjut mengenai program ini boleh didapati melalui Muhammad Danial Zulkarnain, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.



