PETALING JAYA: Impian skuad bawah 16 tahun (B-16) negara untuk melangkah ke pusingan akhir Piala Asia B-17 2027 tidak kesampaian apabila terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 0-0 menentang India pada aksi terakhir Kumpulan E pusingan kelayakan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, sebentar tadi.
Malaysia yang memerlukan kemenangan dengan perbezaan tiga gol untuk mengesahkan tiket ke pusingan akhir gagal mencari jalan menembusi pertahanan India, sekali gus menyaksikan lawan muncul juara Kumpulan E dengan 10 mata.
Baca juga: Lebih 520 pelajar, guru nikmati kemudahan hasil naik taraf SMK Dato’ Ahmad
Keputusan itu menyaksikan skuad kendalian Shukor Adan menamatkan kempen kelayakan di tangga ketiga kumpulan dengan tujuh mata, sekali gus gagal mengulangi kejayaan melayakkan diri ke kejohanan berkenaan pada enam edisi terdahulu iaitu 2004, 2008, 2014, 2016, 2018 dan 2023.
Malaysia sebenarnya berpeluang membuka jaringan seawal minit kelima apabila Nur Azam Muslim Nor Hisham melepasi kawalan dua pertahanan India sebelum rembatan leretnya menggegar tiang kiri pintu gol lawan.
Nur Azam sekali lagi terlepas peluang pada minit ke-19 apabila tampanannya di depan gol selepas menerima hantaran Muhammad Afiq Syameel Muhamad Fairul gagal menepati sasaran, sekali gus menyaksikan Malaysia terus buntu meskipun tampil agresif sepanjang babak pertama.
Selepas rehat, peluang turut hadir menerusi situasi sepakan percuma namun percubaan susulan Muhammad Syaifullah Mahruzi melambung tinggi, manakala India cuba mengancam gawang negara menerusi Hrishikesh Charan Manavathi pada minit ke-57 dan Md Sahir Ali pada minit ke-74 yang berjaya dipatahkan penjaga gol, Adam Fakhrullah Mohd Fadli.
Keputusan tanpa jaringan itu akhirnya menutup peluang Malaysia untuk ke pusingan akhir Piala Asia B-17 2027, dengan India mengesahkan kedudukan sebagai juara kumpulan menerusi 10 mata. – UTUSAN
The post Malaysia B-16 terkandas appeared first on Utusan Malaysia.