MBDK kesan 103 kes buang sampah haram menerusi CCTV

MBDK kesan 103 kes buang sampah haram menerusi CCTV

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Sebanyak 103 kes pembuangan sampah haram dikesan menerusi pemantauan kamera litar tertutup (CCTV) Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.

Pengarah Komunikasi Korporat MBDK, Norfiza Mahfiz berkata, jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding 109 kes yang direkodkan bagi tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata, pemantauan menerusi teknologi CCTV yang dikendalikan Unit CCTV, Jabatan Penguatkuasa membolehkan aktiviti pembuangan sampah haram dikesan secara lebih sistematik termasuk mengenal pasti kenderaan dan pihak yang disyaki terbabit untuk tindakan susulan.

“Selain pengesanan menerusi CCTV, MBDK turut melaksanakan tindakan penguatkuasaan melalui pengeluaran kompaun dan sitaan mengikut Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap 2007.

“Sehingga 30 September lalu, sebanyak 909 kompaun dikeluarkan atas kesalahan berkaitan, dengan 576 kompaun sudah dibayar membabitkan kutipan hasil RM247,360,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Unit CCTV MBDK turut membantu agensi penguatkuasaan lain apabila menerima 24 permohonan rakaman CCTV daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga 30 September lalu bagi membantu siasatan dan tindakan lanjut.

“Bagi September sahaja, sebanyak 4,128 rakaman CCTV berkaitan pengesanan pembuangan sampah haram direkodkan, dengan lapan aktiviti dikenal pasti.

“Daripada jumlah itu, dua kompaun dikeluarkan, manakala enam kes lagi masih dalam proses mendapatkan maklumat menerusi kerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan PDRM,” katanya.

Mengulas lanjut, Norfiza berkata, pihaknya akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan pembuangan sampah haram.

Katanya, penggunaan teknologi CCTV akan terus diperkasakan sebagai mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan Klang kekal bersih, selamat serta selesa untuk didiami.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top