MCMC kuat kuasa pengesahan umur pengguna akaun media sosial mulai hari ini

MCMC kuat kuasa pengesahan umur pengguna akaun media sosial mulai hari ini

SHAH ALAM – Semua platform media sosial berlesen di negara ini perlu memastikan hanya pengguna berumur 16 tahun ke atas dibenarkan mendaftar akaun dan mengakses mana-mana ciri perkhidmatan yang bersesuaian bermula 1 Jun.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, tindakan itu dilaksanakan menerusi penguatkuasaan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (Child Protection Code, CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (Risk Mitigation Code, RMC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA).

Menurut suruhanjaya itu, penguatkuasaan peraturan baharu tersebut dibuat bagi melindungi kanak-kanak dalam talian, sejajar dengan persekitaran digital negara yang semakin berkembang.

“Pemberi perkhidmatan media sosial berlesen dikehendaki melaksanakan langkah perlindungan termasuk pengesahan umur pengguna berdasarkan had umur minimum 16 tahun.

“Pengesahan umur hendaklah dibuat berdasarkan rekod yang dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia atau rekod setara dikeluarkan oleh pihak berkuasa kompeten luar negara diiktiraf oleh kerajaan Malaysia

“Bagi pengguna sedia ada, pengesahan umur akan dilaksanakan secara progresif dalam tempoh sehingga enam bulan oleh pemberi perkhidmatan media sosial yang berkaitan,” kata kenyataan itu.

Tambahnya, pengguna sedia ada yang dikenal pasti berumur di bawah 16 tahun akan diberikan satu bulan untuk memuat turun atau memindahkan data mereka, termasuk gambar dan video, sebelum sebarang satu sekatan, penggantungan atau tindakan lain dikenakan oleh penyedia perkhidmatan media sosial berkaitan dalam tempoh tersebut.

“Keperluan pengesahan umur ini terpakai kepada perkhidmatan media sosial berlesen termasuk Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube, selaras dengan kebimbangan yang semakin meningkat berhubung keselamatan dalam talian dan aspek perkembangan kanak-kanak,” katanya.

Sementara itu, MCMC dalam masa sama menggesa semua pemberi perkhidmatan media sosial berlesen mematuhi sepenuhnya obligasi statutori mereka di bawah kedua-dua peraturan baharu tersebut, termasuk melaksanakan langkah pengesahan umur yang berkesan di platform masing-masing dalam tempoh ditetapkan. 

Kenyataan itu menambah, pihaknya memandang serius sebarang ketidakpatuhan terhadap keperluan ini dan akan mengambil tindakan kawal selia serta penguatkuasaan yang sewajarnya selaras dengan undang-undang. 

“RMC melengkapkan langkah-langkah tersebut dengan mewajibkan pemberi perkhidmatan melaksanakan perlindungan secara proaktif, termasuk menjalankan penilaian risiko, memperkukuh penyederhanaan kandungan, menyediakan kawalan keselamatan pengguna serta meningkatkan akauntabiliti platform,” katanya.

Tambah MCMC, pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan, pemain industri dan masyarakat bagi memupuk persekitaran dalam talian yang lebih selamat dan bertanggungjawab.

Scroll to Top