SHAH ALAM – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh membidas kritikan Angkatan Muda Keadilan (AMK) berhubung usaha penyatuan parti-parti politik Melayu.
Beliau turut menyindir dakwaan bahawa usaha menyatukan parti-parti Melayu yang disifatkan sebagai ‘cium tapak kaki’.
“Bila kita nak satukan parti politik Melayu, dia kata kita ‘cium tapak kaki’ pula. Kalau ikut logik AMK ini, kerjasama dia dengan DAP maknanya dia pun ‘cium tapak kaki’ DAP lah.
“Patutlah begitu jadinya. Kesian menggelupur sangat bila kita nak bersatu,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Sebelum ini, Setiausaha AMK Selangor, Ghafurullah Ismail mendakwa UMNO kini sanggup bergantung kepada parti lawan demi meraih kuasa, selain menyifatkan parti itu tidak lagi mampu berdiri atas kekuatan sendiri walaupun menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, UMNO dilihat lebih cenderung menjalin kerjasama dengan parti yang sebelum ini menjadi lawan politik mereka demi kepentingan pilihan raya.
Beliau juga menyifatkan dakwaan Ketua Pemuda UMNO Kapar, Afifi Aris bahawa kerjasama BN-Pas mampu membantu UMNO merampas semula Parlimen Kapar dan kerusi DUN di bawahnya sebagai tidak berpijak di bumi nyata.



