sukan@hmetro.com.my
LANGKAWI: Pengurus Kelab Golf Bukit Unggul, Selangor, Mohd Ayub Mohd Salleh mencipta kejutan apabila muncul juara Kejohanan Golf Jemputan Amatur Langkawi (LAGI) 2026 pada penampilan sulungnya, semalam.
Mohd Ayub menampilkan permainan konsisten untuk mengungguli edisi keempat kejohanan itu yang berlangsung di The Els Club Teluk Datai, di sini.
Menurutnya, kemampuan mengurangkan kesilapan sepanjang permainan menjadi antara faktor membantunya mencatat keputusan terbaik, sekali gus muncul juara.
“Saya sebenarnya tidak meletakkan harapan tinggi untuk menang. Saya datang untuk bermain secara santai selepas dijemput rakan-rakan yang meminati sukan golf.
“Ini juga kali pertama saya bermain di The Els Club Teluk Datai dan pengalaman bermain di sini memang menarik,” katanya ketika ditemui selepas kejohanan.
Padang golf 18 lubang berkenaan direka legenda golf dunia, Ernie Els, dengan landskap berlatarbelakangkan pergunungan dan pemandangan Laut Andaman.
© New Straits Times Press (M) Bhd
