SHAH ALAM – Perikatan Nasional (PN) disifatkan memerlukan kembali sosok pemimpin yang mampu menyatukan dan membina semula kekuatan gabungan itu selepas Pas menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Afif Bahardin berkata, sudah tiba masanya Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin kembali memimpin sebagai Pengerusi PN dengan matlamat lebih besar daripada kepentingan mana-mana parti.
Menurut beliau, keputusan baharu Pas itu telah membuka lembaran baharu dalam perjalanan PN.
“Apabila landskap politik berubah, PN memerlukan semula kepimpinan yang mampu menarik sokongan rakyat yang lebih luas – bukan hanya penyokong tegar parti, tetapi juga golongan Melayu moderat, pengundi atas pagar, anak muda profesional dan rakyat yang mahukan kestabilan.
“Sejak penubuhan PN, Muhyiddin bukan sekadar seorang pengasas, beliau adalah titik temu yang berjaya menghimpunkan pelbagai aliran pemikiran politik dalam satu wadah perjuangan.
“Dalam suasana politik yang sering dipenuhi persaingan ego dan perebutan pengaruh, beliau memilih pendekatan sederhana, inklusif dan berteraskan musyawarah,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan berkata, kekuatan PN pada pilihan raya lalu, realitinya tidak datang daripada satu parti semata-mata, sebaliknya daripada gabungan pelbagai kelompok rakyat yang melihat PN sebagai alternatif kepada politik ‘patronage’ dan kegagalan kerajaan semasa.
Tambah Afif, Muhyiddin mempunyai kredibiliti untuk membawa agenda penyatuan Melayu yang inklusif iaitu Melayu yang kuat sebagai teras negara, tetapi pada masa sama menjadi payung kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
“Malaysia hari ini memerlukan kepimpinan yang menyatukan, bukan memecahkan. Kepimpinan yang membina jambatan, bukan tembok.
“PN juga memerlukan seorang pemimpin yang boleh melihat jauh ke hadapan, mengurus perbezaan dengan hikmah dan mengembalikan fokus kepada perjuangan rakyat.
“Atas sebab itu, saya percaya ramai penyokong PN akan bersetuju dengan satu seruan yang semakin kuat kedengaran iaitu kembalikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN,” ujarnya lagi.
Terdahulu Pas mengumumkan menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu berkuat kuasa serta-merta selepas mengambil kira laporan, kajian dan penilaian semasa terhadap hubungan kedua-dua parti.
Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari lalu, selepas mengetuai gabungan itu sejak 7 Ogos 2020.
Pada Februari lalu, Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Menteri Besar Terengganu, dilantik sebagai Pengerusi PN yang baharu.
ARTIKEL BERKAITAN: Pas putus hubungan politik dengan Bersatu serta-merta
Pas perjelas punca putus hubungan dengan Bersatu
Tun Faisal namakan siapa dikatakan kem ulama tidak bersetuju – Ahmad Fadhli



