Nama ketua pembangkang baharu dijangka diumum sebelum Sidang Dewan Rakyat – Tuan Ibrahim

Nama ketua pembangkang baharu dijangka diumum sebelum Sidang Dewan Rakyat – Tuan Ibrahim

KUANTAN – Nama Ketua Pembangkang bagi menggantikan bekas Timbalan Presiden Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Hamzah Zainudin dijangka akan diumumkan sebelum Dewan Rakyat bersidang Jun ini.

Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata,PN sudah menghantar surat rasmi kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memaklumkan pengosongan jawatan Ketua Pembangkang itu.

Bagaimanapun menurutnya, setakat ini PN belum menamakan siapa yang akan mengisi jawatan itu.

“Insya-ALLAH menjelang sidang itu nanti, kita akan menamakan Ketua Pembangkang baharu kerana tiada keperluan setakat ini untuk mengumumkan pengganti memandangkan Dewan Rakyat belum bermula.

“PN juga akan mengadakan Mesyuarat Majlis Tertinggi Sabtu ini dan ada beberapa perkara yang akan diputuskan pada mesyuarat tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Wisma Sri Pahang di sini pada Khamis.

Mengenai kemungkinan berlaku pertukaran tempat di Dewan Rakyat, Tuan Ibrahim tidak menolak perkara itu berlaku kelak.

Sementara itu, mengulas permohonan maaf Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh yang mengaitkan sahabat Nabi Muhammad SAW dengan istilah ‘bapa ceti’ dan ‘kaki zina’ dalam program ceramah politik di Kuala Terengganu pada Ahad lalu, Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden PAS berkata, teguran telah dibuat dan diterima.

“Teguran sudah dibuat, dia terima dan mengaku kesilapan serta telah memohon maaf selain menarik balik kenyataan itu, saya fikir tindakan itu memadai.

“Buat masa ini, itulah yang terbaik kalau kita buat salah kita mengaku dan tarik balik kenyataan itu,” katanya.

Scroll to Top