Tel Aviv: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu semalam memaklumkan menerima rawatan yang berjaya bagi kanser prostat peringkat awal, namun tidak menyatakan bila rawatan itu dilakukan.
Dalam kenyataan di media sosial ketika laporan perubatan tahunannya dikeluarkan, Netanyahu, 76, memaklumkan bahawa tumor malignan peringkat awal dikesan semasa pemeriksaan rutin.
Katanya, “rawatan sasaran” yang diterima menghapuskan masalah itu tanpa meninggalkan sebarang kesan.
Menurut laporan perubatan itu yang turut menyatakan beliau berada dalam keadaan kesihatan yang baik, Netanyahu dirawat menggunakan terapi bagi kanser prostat peringkat awal.
Bagaimanapun, laporan itu tidak memperincikan tarikh rawatan dijalankan.
Perdana menteri paling lama berkhidmat di Israel itu turut menjelaskan bahawa pengeluaran laporan perubatan berkenaan ditangguhkan selama dua bulan bagi mengelak Iran daripada menyebarkan “propaganda palsu terhadap Israel”.
Mac lalu, ketika konflik dengan Iran memuncak, khabar angin yang tular di media sosial dan disiarkan media kerajaan Iran mendakwa beliau sudah meninggal dunia.
Bagi menafikan dakwaan itu, Netanyahu merakam video dirinya mengunjungi sebuah kafe di Baitulmaqdis pada Mac.
Netanyahu sebelum ini pernah menjalani pembedahan prostatnya pada 2024 selepas didiagnosis dengan jangkitan saluran kencing akibat pembesaran prostat tidak berbahaya. Pada 2023, beliau dipasang dengan perentak jantung.
Pilihan raya dijangka akan diadakan di Israel menjelang Oktober.
© New Straits Times Press (M) Bhd




