London: Impian Newcastle untuk menghampiri kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) terbantut selepas terikat 0-0 menentang pasukan tercorot, Wolves, semalam.
Pasukan kendalian Eddie Howe gagal memecah benteng pertahanan Wolves apabila dua mata tercicir di Stadium Molineux yang dilanda hujan.
Kemenangan ke atas Burnley, Crystal Palace dan Leeds sebelum ini mengukuhkan misi mereka untuk layak ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL), musim depan.
Namun, The Magpies kini terperangkap di tangga kelapan selepas gagal menewaskan Wolves.
Selepas kekalahan mengecewakan 0-2 kepada Manchester City pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Liga pada Selasa, keputusan ini menjadi satu lagi keputusan mengecewakan buat Newcastle.
Pada ketika perlawanan penting menentang pencabar empat teratas, Aston Villa dan Liverpool, bakal dihadapi sebelum penghujung bulan ini, pasukan Howe perlu segera kembali ke landasan sebenar.
Wolves kini tidak tewas dalam empat perlawanan liga berturut-turut, namun masih 14 mata di belakang zon selamat.
Nick Woltemade yang gagal menjaringkan gol dalam enam perlawanan, mensia-siakan peluang untuk menamatkan kemarau itu apabila tandukannya tersasar walaupun berada dalam kedudukan baik.
Woltemade yang hanya menjaringkan dua gol dalam 12 penampilan terdahulu, sekali lagi mensia-siakan peluang beberapa saat kemudian apabila tandukannya hasil hantaran Kieran Trippier melepasi palang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




