PAAB perkasa pendidikan, kesedaran penjimatan air

PAAB perkasa pendidikan, kesedaran penjimatan air

SHAH ALAM – Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan, terus komited memperkasakan pendidikan serta kesedaran penjimatan air dalam kalangan masyarakat.

Usaha syarikat memperkukuhkan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) sejak tujuh tahun lalu mendapat pengiktirafan apabila menerima Anugerah Kelestarian Pendidikan dan Komuniti Korporat sempena Bisnes Sinar Awards (BISA) 2026.

Pengurus Besar Bahagian Perkhidmatan Korporat PAAB, Rozaifee Abu Zaharim menyifatkan anugerah tersebut sebagai suntikan semangat buat PAAB untuk terus memperluaskan agenda kelestarian pada masa depan.

Menurutnya beliau, pengiktirafan itu juga meletakkan PAAB sebaris dengan syarikat korporat lain yang aktif memperjuangkan agenda kelestarian serta inisiatif Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

“Anugerah ini menjadi batu loncatan untuk kami terus menyumbang kepada masyarakat, khususnya dalam memberi kefahaman kepada pelajar dan golongan muda mengenai kepentingan penjimatan air.

“Usaha ini tidak akan terhenti di sini kerana kami mahu generasi akan datang lebih menghargai akses kepada bekalan air bersih dan memahami kepentingan penjimatan air untuk kelangsungan masa depan,” katanya.

Rozaifee (tengah) mewakili PAAB menerima Anugerah Kelestarian Pendidikan dan Komuniti Korporat sempena BISA 2026 yang berlangsung di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Rozaifee (tengah) mewakili PAAB menerima Anugerah Kelestarian Pendidikan dan Komuniti Korporat sempena BISA 2026 yang berlangsung di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Rozaifee menjelaskan bahawa syarikat telah mengubah pendekatan CSR daripada bantuan bersifat sekali beri kepada inisiatif berteraskan kelestarian yang memberi manfaat jangka panjang kepada komuniti.

Katanya, pelaksanaan program CSR syarikat turut diselaraskan dengan projek pembangunan infrastruktur air yang dijalankan di seluruh negara.

Menurut beliau, institusi yang dipilih untuk menerima manfaat program kebiasaannya terletak di kawasan jajaran projek PAAB, termasuk sekolah, kolej, institusi pengajian, masjid dan surau.

“PAAB akan mengambil maklum sebarang aduan atau gangguan yang timbul akibat pelaksanaan projek dan mengutamakan keselesaan komuniti terjejas.

“Pada masa sama, kami mengambil peluang untuk giving back kepada komuniti terlibat melalui kempen dan ceramah kesedaran mengenai penjimatan air bersih,” ujarnya lagi.

Fokus didik generasi muda hargai air bersih

Rozaifee (kiri) bergambar bersama Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin pada malam Anugerah BISA 2026.

Rozaifee (kiri) bergambar bersama Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin pada malam Anugerah BISA 2026.

Rozaifee berkata, menjadi harapan PAAB melihat generasi muda sedar mengenai kepentingan menjimatkan penggunaan air sedari dari bangku sekolah lagi.

Sehubungan itu, pihaknya membelanjakan sejumlah peruntukan setiap tahun melaksanakan inisiatif naik taraf infrastruktur air di institusi terpilih bagi mencapai sasaran itu.

“Ini adalah satu usaha yang mencabar memandangkan masalah kekurangan air dan kebocoran paip antara isu utama di setiap tempat pelaksanaan CSR.

“Selepas naik taraf kemudahan bekalan air siap, penukaran pili paip lama kepada water saving tap dan pemasangan sistem tadahan air hujan, segenap komuniti mendapat manfaat secara berterusan, seterusnya dihargai semua pihak,” jelasnya.

Tambah beliau lagi, pengurangan jumlah bil di semua institusi menjadi matlamat utama PAAB melalui pelaksanaan CSR kelestarian.

“Rata-rata daripada institusi memaklumkan pengurangan bil air berjaya dicapai antara 30 hingga 40 peratus.

“Itulah detik paling menyentuh hati buat kami kerana usaha kecil ini ternyata memberi kesan langsung kepada masyarakat,” katanya.

 

 

 

 

 

Scroll to Top