Panggilan video terakhir sebelum adik 'pergi' selama-lamanya

am@hmetro.com.my

Sabak Bernam: “Semalam adik ceria seperti biasa ketika kami membuat panggilan video menerusi WhatsApp sebanyak tiga kali. Tak sangka itu perbualan akhir dan dia pergi buat selama-lamanya.”

Demikian luahan Shaifudin Mohd Zahari, 54, abang kepada Allahyarham Syahizad Mohd Zahari, 49, yang ditemui meninggal dunia dalam kenderaan milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Jalan Klang-Teluk Intan, berhampiran pekan Sungai Besar, petang semalam.

Difahamkan, kakitangan JPS Kelantan itu sebelumnya tidak sedarkan diri dan orang awam yang berada di lokasi terpaksa memecahkan cermin untuk mengeluarkan mangsa.

Shaifudin berkata, berita duka itu diterima ketika dia sedang berada di Genting Highlands selepas dihubungi abang sulungnya.

“Sebelum kejadian, adik beritahu keretanya tidak boleh dihidupkan dan menunggu mekanik untuk dibaiki. Kebetulan dia hendak mengambil atlet temasya Sukan Malaysia (SUKMA).

“Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan. Dia seorang yang rajin dan komited bekerja sehinggakan cuti tahunannya tak pernah dapat dihabiskan,” katanya ketika ditemui di perkarangan Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam, di sini, tadi.

Shaifudin berkata, kali terakhir dia bertemu anak keempat dari tujuh beradik itu minggu lalu ketika pulang ke kampung halaman di Chempaka, Kota Bharu.

Menurutnya, Syahizad yang baru berpindah ke JPS Kelantan sejak dua bulan lalu disifatkan sebagai adik yang ‘happy go lucky’ dan rapat dengan ahli keluarga.

“Meskipun kehilangannya sangat dirasai seluruh keluarga namun kami reda dengan ketentuan Allah SWT.

“Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chempaka selepas proses bedah siasat selesai,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.36 petang semalam.

Beliau berkata, sepasukan enam anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besar bergegas ke lokasi kejadian.

“Berdasarkan maklumat awal, sebuah kenderaan pacuan empat roda Nissan X-Trail milik JPS berhenti di tepi jalan dan pemandunya tidak sedarkan diri.

“Pintu kenderaan itu dibuka orang awam sebelum pihak bomba tiba,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top