Kota Bharu: Setiap hidangan bukan sekadar mengisi perut, sebaliknya memberi ruang untuk mereka berjimat, meneruskan pengajian dan mengejar impian demi keluarga.
Penuntut Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Muhammad Ammar Mohd Zulkefli, Mohamad Aiman Affendi Azmi dan Nur Alya Nadhirah Mohd Jusoh melalui kehidupan kampus dengan cabaran kewangan masing-masing, namun keadaan itu tidak pernah mematahkan semangat mereka untuk menamatkan pengajian.
Lebih menyentuh hati, ketiga-tiganya memilih untuk berdikari dan mengurangkan beban keluarga walaupun terpaksa berdepan kekangan kewangan dalam menguruskan keperluan harian sebagai mahasiswa.
Makan sekali sehari demi impian
Ammar, pelajar tahun ketiga Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan (Pelancongan) dengan Kepujian, bukan sahaja sibuk dengan pengajian, malah memikul tanggungjawab sebagai ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).
Ayahnya bekerja sebagai pemandu lori manakala ibunya seorang suri rumah.
Sebagai anak yang mahu melihat pengorbanan ibu bapanya berbaloi, Ammar memasang impian untuk menjadi graduan pertama dalam keluarga.
Namun, perjalanan menuju impian itu bukan mudah apabila wang yang terhad perlu dibahagikan untuk makanan, bahan pembelajaran dan keperluan lain.
“Sebelum ini, ada masanya saya terpaksa mengurangkan makan kerana bimbang wang tidak mencukupi. Kebiasaannya saya hanya makan sekali sehari.
“Dengan adanya baucar pada hari Selasa dan Khamis, sekurang-kurangnya pada hari tersebut saya dapat makan dua kali,” katanya.
Menerusi Program Santun Pelajar Mekdi, baucar Nasi Mekdi yang diterima membantu Ammar mengurangkan perbelanjaan makanan sekali gus memberi ruang untuk menguruskan keperluan pembelajaran.
Dalam kesibukan menguruskan hal mahasiswa melalui MPP, dia juga berusaha memastikan pelajar lain mengetahui bantuan yang boleh dimanfaatkan.
Bagi Ammar, menjadi wakil pelajar bukan sekadar memegang jawatan, sebaliknya amanah untuk membantu mereka yang turut berdepan kesukaran.
Anak sulung tidak mahu bebankan keluarga
Bagi Aiman pula, kehidupan sebagai anak sulung daripada tiga beradik membuatkan dia lebih memahami keadaan kewangan keluarganya.
Ayahnya bekerja sebagai buruh dan menjadi pencari nafkah utama, manakala ibunya seorang suri rumah.
Pelajar tahun pertama Sarjana Muda Keusahawanan (Kesejahteraan) dengan Kepujian itu jarang meminta wang daripada ibu bapanya kecuali untuk perkara yang benar-benar diperlukan.
Ketika cuti semester atau mempunyai masa lapang, dia mengambil kerja buruh bagi menampung sebahagian perbelanjaan sendiri.
“Dengan adanya baucar Nasi Mekdi, saya dapat menjimatkan sedikit daripada perbelanjaan makan malam dan menyimpan wang itu untuk kegunaan pada hari berikutnya,” katanya.
Bagi Aiman, wang yang berjaya dijimatkan hari ini boleh digunakan untuk keperluan esok, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada keluarga.
Selepas menamatkan pengajian, dia mahu mengumpul pengalaman dan membina sumber pendapatan yang stabil supaya dapat berkongsi tanggungjawab keluarga bersama ibu bapanya.
Kerja sambilan demi terus berdikari
Sementara itu, Alya memilih untuk bekerja sambilan di sebuah kiosk yang menjual nasi bajet kepada mahasiswa.
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan (Kesejahteraan) dengan Kepujian itu tidak mahu masalah kewangan menambah beban keluarganya.
Ayahnya bekerja sebagai pemandu bas manakala ibunya seorang suri rumah.
Baucar Nasi Mekdi yang diterima sedikit sebanyak membantu mengurangkan perbelanjaan makanan, namun lebih daripada nilai bantuan itu, Alya menghargai keprihatinan yang ditunjukkan terhadap mahasiswa.
“Alhamdulillah, saya rasa bersyukur dan gembira kerana baucar ini sedikit sebanyak membantu meringankan perbelanjaan saya sebagai seorang pelajar.
“Saya juga rasa dihargai apabila ada pihak yang memahami dan mengambil kira keperluan mahasiswa seperti kami,” katanya.
Alya turut menyimpan impian untuk membina kerjaya yang stabil dan meneroka peluang dalam bidang keusahawanan.
Pada masa sama, dia mahu kejayaan yang dicapai kelak turut memberi manfaat kepada orang lain.
“Insya-Allah, membantu orang lain memang menjadi salah satu impian saya. Sekiranya diberikan rezeki dan kemampuan, saya mahu membantu mereka yang memerlukan, terutama dari segi sumbangan dan keperluan asas,” katanya.
Bantuan kecil, impak besar
Kisah Ammar, Aiman dan Alya memperlihatkan bagaimana bantuan yang kelihatan sederhana mampu memberi makna besar kepada mahasiswa yang berdepan kekangan kewangan.
Bagi seorang, ia bermakna dapat makan dengan lebih teratur, manakala bagi yang lain, wang yang dijimatkan boleh digunakan untuk keperluan pada hari berikutnya.
Ada juga yang melihat bantuan itu sebagai tanda bahawa cabaran kehidupan mahasiswa turut mendapat perhatian.
Di UMK, sebanyak 8,000 baucar Nasi Mekdi diperuntukkan kepada pelajar.
Di Kelantan pula, Program Santun Pelajar membabitkan lima institusi pengajian tinggi dengan keseluruhan 54,800 baucar untuk diagihkan kepada pelajar yang memerlukan.
Dalam inisiatif berasingan sempena Majlis Penyerahan Zakat Korporat McDonald’s Malaysia di Kelantan, Ammar, Aiman dan Alya turut menerima sumbangan komputer riba bersama 12 pelajar asnaf UMK lain bagi menyokong keperluan pembelajaran.
Program Santun Pelajar bermula pada Februari 2026 dengan pengagihan 50,000 hidangan Nasi Mekdi sepanjang Ramadan sebelum diperluaskan kepada 75 institusi pengajian tinggi di seluruh negara.
Setakat ini, lebih 400,000 baucar sudah diagihkan dengan sasaran sehingga satu juta baucar menjelang akhir 2026.
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar, berkata pihaknya mahu membantu mahasiswa mengharungi cabaran kehidupan kampus tanpa perlu mengorbankan keperluan asas.
“Kami percaya tiada pelajar yang seharusnya perlu memilih antara menghadiri kelas dan mendapatkan hidangan yang mencukupi.
“Melalui Program Santun Pelajar, kami mahu membantu meringankan sebahagian daripada cabaran harian mahasiswa agar mereka dapat memberi tumpuan kepada pendidikan, meneruskan pengajian dengan lebih yakin dan merealisasikan potensi masing-masing,” katanya.
Bagi Ammar, Aiman dan Alya, perjuangan mereka mungkin bermula dengan perkara kecil seperti berjimat untuk satu hidangan, mengambil kerja sambilan atau mengurangkan perbelanjaan.
Namun, di sebalik setiap pengorbanan itu tersimpan impian yang jauh lebih besar, iaitu menamatkan pengajian, membina kehidupan yang lebih baik dan membalas jasa keluarga.
Tiga mahasiswa itu kini terus melangkah dengan harapan masing-masing, membuktikan bahawa kesusahan bukan alasan untuk mengalah dalam mengejar masa depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
