SHAH ALAM – Pas mempunyai tiga pilihan politik yang realistik dan boleh dicapai bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal membuka tirai saingannya secara rasmi kurang seminggu sahaja lagi.
Bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuki berkata, ketiga-tiga pilihan itu bersandarkan kepada konsep ‘politik nyata’ yang menyaksikan medan sebenar bagi parti itu mencapai matlamat politiknya.
Menurut beliau, konsep tersebut selari dengan prinsip Budaya Politik Matang dan Sejahtera yang diperjuangkan Pas sejak sedekad lalu, sekali gus membolehkan corak politik parti itu dinamik selagi berada dalam lingkungan syarak.
Menghuraikan pilihan pertama, Mohd Zuhdi berkata, Pas boleh memilih bergerak solo untuk keluar daripada kemelut yang sedang berlaku dalam Perikatan Nasional (PN).
“Pilihan pertama ini adalah seperti yang dicadangkan oleh Mursyidul Am Pas pada awal tahun 2026 dan turut mendapat sokongan daripada beberapa pemimpin Pemuda Pas,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Bagi pilihan kedua pula, beliau menjelaskan terdapat ruang untuk Pas bekerjasama semula dengan UMNO atau Barisan Nasional (BN) menerusi naratif Muafakat Nasional (MN) 2.0.
Pilihan ini disifatkan mampu dicapai memandangkan beberapa siri pertemuan dilaporkan telah diatur baru-baru ini, seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Presiden Pas.
Sementara itu, pilihan ketiga yang digariskan beliau adalah melaksanakan moratorium terhadap keputusan memutuskan hubungan dengan Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sehinggalah PRN Johor selesai.
Langkah itu memerlukan Pengerusi PN mengetuai perdamaian sementara dengan Bersatu, sekali gus menjadikan PN sebagai wadah bersama untuk mendepani pilihan raya berkenaan.
Pilihan ketiga ini turut menyentuh pandangan wartawan veteran, A Kadir Jasin, yang mencadangkan Pas berbaik semula dengan Bersatu demi memperkukuh PN sebagai gabungan berpotensi besar di Malaysia.
Mengulas lanjut, Mohd Zuhdi menegaskan setakat ini haluan sebenar Pas dalam menghadapi PRN Johor masih belum jelas, menyebabkan petugas-petugas parti di pelbagai peringkat kini sedang menanti arahan daripada pihak pimpinan tertinggi.
Beliau mengingatkan bahawa dalam membuat keputusan penting ini, Pas tidak boleh mengabaikan realiti sebenar yang berlaku di luar.
“Ketiga-tiga pilihan yang ada ini adalah sesuatu yang boleh dilaksanakan dan boleh dicapai ketika semboyan PRN Johor sudah semakin menggetarkan gegendang telinga masing-masing.
“Pas tidak boleh membuat keputusan di dalam ‘bilik kebal’ dengan mengabaikan realiti sebenar di luar,” katanya.



