Pas arah pimpinan, ahli tidak buat kenyataan tanpa kebenaran khas

Pas arah pimpinan, ahli tidak buat kenyataan tanpa kebenaran khas

SHAH ALAM – Pas mengarahkan semua pimpinan dan ahli supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau ulasan berhubung perkembangan semasa melibatkan pihak lain dengan parti itu tanpa kebenaran khas.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, arahan itu melibatkan semua saluran media dan komunikasi.

“Semua pihak diminta kekal tenang dan menyerahkan perkara seumpama ini kepada Tuan Guru Presiden (Tan Sri Abdul Hadi Awang) dan kepimpinan parti yang akan menguruskannya dengan cermat dalam waktu terdekat,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini Abdul Hadi memaklumkan, Pas akan menilai semula kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) susulan beberapa tindakan parti diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin itu yang dilihat melanggar semangat setia kawan parti komponen Perikatan Nasional (PN).

Ahli Parlimen Marang itu menjelaskan, ketetapan tersebut dibuat susulan siri tindakan Bersatu yang disifatkan kurang menyenangkan partinya.

Terkini Bersatu memecat beberapa Exco kerajaan Kedah serta Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi dari kalangan pemimpin parti itu sendiri.

Abdul Hadi menegaskan, pertukaran atau pemecatan mana-mana ahli tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya, sebaliknya perlu berasaskan kepada alasan kukuh yang menjejaskan prestasi sesebuah parti.

Scroll to Top