Pelajar maut di sekolah: Radzi Jidin bangkitkan persoalan -“Apa sebenarnya sedang berlaku?”

Pelajar maut di sekolah: Radzi Jidin bangkitkan persoalan -“Apa sebenarnya sedang berlaku?”

Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin melahirkan rasa sedih susulan kematian seorang pelajar Tingkatan Empat yang ditemukan dalam keadaan lemah sebelum meninggal dunia di sebuah sekolah di Yong Peng, Batu Pahat pada Sabtu.

Persoalkan tentang keselamatan pelajar

Menerusi hantaran di platform media sosial, beliau menyatakan kejadian berkenaan menimbulkan persoalan mengenai perkara yang sedang berlaku, khususnya membabitkan aspek keselamatan pelajar di sekolah.

“Sangat menyedihkan menerima berita seorang pelajar Tingkatan Empat yang hadir ke sebuah sekolah di Yong Peng untuk mengikuti kelas tuisyen, ditemui dalam keadaan lemah sebelum meninggal dunia.
“Apa sebenarnya yang sedang berlaku kebelakangan ini,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Sebelum ini, seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat, Irene Sofiya Mohd Khairool, 16, ditemui maut dipercayai dibunuh di sebuah sekolah menengah di Yong Peng.

Mangsa ditemui neneknya yang datang ke sekolah berkenaan selepas menyedari cucunya tidak pulang ke rumah kira-kira jam 5.30 petang.

Menurut sumber, mangsa tinggal bersama neneknya selepas ibunya meninggal dunia, manakala bapanya bekerja di Kuala Lumpur.

Ucap takziah kepada keluarga mangsa

Radzi turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta mendoakan agar mereka diberikan kekuatan dalam menghadapi kehilangan berkenaan.

“Takziah buat keluarga mangsa. Semoga diberikan kekuatan menghadapi saat yang amat berat ini dan semoga keadilan buat mangsa dapat ditegakkan,” katanya.

Siasatan berhubung kes berkenaan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian serta pihak yang terlibat.

Sumber: Facebook Dr Radzi Jidin

Scroll to Top