hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menegaskan setiap pelantikan pegawai kanan dalam pasukan itu dilaksanakan secara profesional, berteraskan meritokrasi serta mengambil kira keperluan strategik organisasi secara menyeluruh.
Markas Angkatan Tentera Malaysia dalam kenyataan berkata, pihaknya sentiasa menghargai keprihatinan berterusan golongan veteran terhadap hal ehwal institusi pertahanan negara.
Namun, ATM menjelaskan proses penilaian pelantikan sentiasa mengambil kira rekod kepimpinan, integriti, pengalaman operasi, kompetensi, kelayakan profesional, kesesuaian jawatan serta keperluan perkhidmatan semasa.
“Bagi jawatan tertentu yang bersifat kritikal dan strategik, kebolehan sebagai Pakar Bidang Khusus atau Subject Matter Expert (SME) turut diangkat sebagai pertimbangan utama.
“Ini termasuklah pengalaman penugasan bersama antara perkhidmatan, pendedahan strategik di peringkat nasional dan antarabangsa, serta keupayaan dalam mengurus kerjasama pelbagai agensi dan pemegang taruh.
“Sehubungan itu, pelantikan pegawai kanan ATM tidak dinilai semata-mata berdasarkan Kor, Cabang atau Perkhidmatan asal seseorang Pegawai Kanan.
“Pembentukan kepimpinan kanan dalam ATM adalah hasil daripada kombinasi pengalaman pemerintahan, operasi, kursus profesional ketenteraan, pengurusan strategik, penugasan bersama serta pendedahan antarabangsa yang secara kolektif menjadi asas utama dalam menentukan kesesuaian seseorang Pegawai Kanan untuk memegang jawatan strategik,” katanya.
ATM turut memaklumkan, walaupun setiap pandangan yang dikemukakan berlandaskan keprihatinan, terdapat pertimbangan strategik dan keperluan perkhidmatan dalam setiap keputusan pelantikan yang tidak semuanya dapat dihuraikan secara terbuka atas faktor sensitiviti organisasi dan keselamatan.
Tegas ATM, setiap keputusan pelantikan dilaksanakan melalui lunas perundangan serta proses dalaman yang tersusun dan teliti berlandaskan kepentingan institusi, kesinambungan pemerintahan, dan keyakinan terhadap keupayaan pegawai kanan yang dipertimbangkan.
Kementerian Pertahanan dan ATM kekal komited untuk memastikan setiap pelantikan pegawai kanan terus dilaksanakan secara profesional, telus dan berasaskan merit serta integriti demi memperkukuh ATM sebagai institusi pertahanan negara yang berwibawa, dihormati serta diyakini rakyat.
Sebelum ini, akhbar tempatan melaporkan menerusi artikel pandangan bertanuk ‘Lantik pegawai kanan ATM ikut merit’ yang disiarkan pada 9 Mei lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




