Pempengaruh ditahan selepas enggan bayar bil restoran

Pempengaruh ditahan selepas enggan bayar bil restoran
Pempengaruh ditahan selepas enggan bayar bil restoran

Dia dikenakan bon jaminan berjumlah AS$5,000 .- Agensi

NASHVILLE – Seorang pempengaruh media sosial ditahan selepas didakwa enggan membayar bil restoran hampir AS$400 (RM1,569) gara-gara tidak berpuas hati diminta menghentikan siaran langsung ketika makan di sebuah restoran stik di Nashville, Tennessee, Amerika Syarikat.

Dalton Eatherly yang menggunakan nama glamor Chud the Builder di media sosial itu ditahan pada Sabtu selepas didakwa mencetuskan kekecohan di Bob’s Steak and Chop.

Menurut afidavit tangkapan, kakitangan restoran sebelum itu meminta Eatherly supaya tidak melakukan siaran langsung atau mengganggu perkhidmatan pelanggan ketika merakam konten tersebut.

Bagaimanapun, lelaki itu didakwa terus membuat siaran langsung selepas memesan dua hidangan utama, minuman dan pembuka selera bernilai AS$371.55 (RM1,460).

Dokumen mahkamah mendakwa, Eatherly mula mengganggu suasana restoran selepas diminta menghentikan siaran langsung.

Dia didakwa membuat kenyataan berbaur perkauman, menjerit dan mencetuskan kekecohan dalam premis tersebut.

Eatherly juga didakwa tidak akan membayar makanan yang sudah dimakan.

Menurut afidavit itu, lelaki berkenaan berniat untuk mengelak atau enggan membuat bayaran bagi hidangan yang telah digunakan.

Eatherly kemudian ditahan dan didakwa atas kesalahan berkelakuan tidak senonoh, melawan tangkapan serta mencuri perkhidmatan.

Dia dikenakan bon jaminan berjumlah AS$5,000 (RM19,612) .

Setakat ini, belum ada kenyataan lanjut daripada Eatherly berhubung insiden tersebut.- Agensi

Scroll to Top