Pemandu e-hailing direman tujuh hari kes wanita disimbah petrol

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Pemandu e-hailing direman tujuh hari bagi membantu siasatan seorang wanita disimbah petrol dan dibakar hidup-hidup di sebuah kedai nombor ramalan di Kepong, di sini, pada 9 Ogos lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, lelaki berusia 59 tahun itu ditahan semalam bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati suspek mengaku terbabit dalam kejadian itu kerana tidak berpuas hati terhadap mangsa.

“Semakan awal mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, polis turut merampas beberapa barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian.

“Antaranya sebuah botol minuman berisi cecair disyaki minyak petrol, sebuah topi keledar, sehelai baju kemeja, sebuah motosikal Yamaha 135LC serta satu rangkai kunci motosikal berserta cukai jalan.

“Suspek dan kesemua barang rampasan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

“Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 25 Ogos ini,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Media sebelum ini melaporkan seorang wanita warga emas melecur 50 peratus selepas disimbah cecair dipercayai petrol dan dibakar di sebuah premis menjual nombor ramalan di Taman Pusat Kepong.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top