Peminat Instagram Vozinha melonjak 30,000 kepada 30 juta, Haaland tambah 32.1 juta pengikut

Peminat Instagram Vozinha melonjak 30,000 kepada 30 juta, Haaland tambah 32.1 juta pengikut

London: Penjaga gol Cape Verde, Vozinha muncul sebagai pemain paling meraih perhatian di Instagram sepanjang Piala Dunia apabila jumlah pengikutnya melonjak daripada hanya 30,000 kepada hampir 30 juta.

Penjaga gol berusia 40 tahun itu bersama Cape Verde mencipta kejutan apabila mara ke pusingan 32 terbaik dalam penampilan sulung mereka di pentas Piala Dunia.

Cape Verde menamatkan saingan peringkat kumpulan tanpa kalah, bermula dengan keputusan seri tanpa jaringan menentang juara dunia, Sepanyol, sebelum tewas tipis 3-2 kepada Argentina menerusi masa tambahan di pusingan kalah mati.

Aksi cemerlang Vozinha menyaksikannya dipilih dalam Pasukan Terbaik Kejohanan, manakala kisah inspirasi beliau turut mencuri perhatian peminat di seluruh dunia.

Jumlah pengikut Instagramnya meningkat luar biasa sebanyak 97,900 peratus kepada 29.4 juta.

Namun, dari segi pertambahan keseluruhan pengikut, penyerang Norway, Erling Haaland, mencatat angka lebih tinggi apabila memperoleh tambahan 32.1 juta pengikut, menjadikan jumlah keseluruhannya meningkat kepada 72.7 juta.

Haaland menjadi antara pemain paling popular sepanjang kejohanan bukan sahaja kerana prestasinya di atas padang, malah disebabkan personaliti lucu dan bersahajanya.

Beliau mencuri tumpuan selepas mengetuai sambutan ‘Viking Row’ sebaik Norway menewaskan Brazil untuk mara ke suku akhir dengan memakai topi Viking tradisional sambil memukul gendang.

Sepanjang berada di Amerika Syarikat, Haaland turut menghayati budaya tempatan apabila dilaporkan membelanjakan hampir AS$10,000 (RM40,867) untuk membeli but koboi, baju-T bertulis “You can kiss my Dallas” serta seekor patung rakun bernilai AS$750 (RM3,065).

Gelagatnya pulang ke Norway sambil memegang patung rakun itu mengundang gelak ketawa peminat, malah produk dikenali sebagai Whiskey Raccoon itu dilaporkan habis dijual selepas kisah pembeliannya tular.

Di belakang Haaland dan Vozinha ialah pemain tengah England, Jude Bellingham, yang menyaksikan jumlah pengikutnya meningkat sebanyak 12 juta daripada 41.3 juta kepada 53.3 juta.

Bellingham tampil cemerlang apabila meledak tujuh gol untuk membantu England mara ke separuh akhir.

Cristiano Ronaldo turut menikmati pertambahan pengikut walaupun sudah memiliki 665.6 juta sebelum kejohanan bermula, dengan jumlah itu kini meningkat kepada 677 juta.

Bintang muda Sepanyol, Lamine Yamal, yang membantu negaranya muncul juara dunia, memperoleh tambahan 11 juta pengikut untuk menjadikan jumlah keseluruhan 54.3 juta.

Kapten Argentina, Lionel Messi, pula menambah 7.5 juta pengikut daripada 506.5 juta kepada 514 juta.

Bintang muda Mexico, Gilberto Mora, turut mencuri perhatian apabila jumlah pengikutnya meningkat daripada 1.1 juta kepada 7.7 juta.

Penyerang Perancis, Michael Olise, pula memperoleh tambahan 5.7 juta pengikut.

Sementara itu, penyerang Real Madrid, Endrick, turut mencatat peningkatan daripada 18.3 juta kepada 23.9 juta pengikut meskipun tidak pernah disenaraikan dalam kesebelasan utama Brazil sepanjang kejohanan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top