SHAH ALAM – Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok diminta memberi tumpuan kepada isu banjir dan masalah longkang tersumbat di kawasannya berbanding terus mempertikaikan pendirian Pemuda Pas Selangor berhubung penganjuran festival hiburan di ibu negara.
Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, Teresa sepatutnya menggunakan kedudukannya dalam kerajaan untuk membantu menyelesaikan masalah rakyat di Seputeh yang didakwa berdepan isu saliran dan banjir kilat.
Menurutnya, tindakan pemimpin DAP itu yang terus menyerang pendirian Pas mengenai isu hiburan seolah-olah cuba membentuk persepsi negatif terhadap parti berkenaan.
“Saya dimaklumkan ada masalah longkang tersumbat dan sebagainya di kawasannya (Teresa).
“Tak perlu sibuk membentuk persepsi Pas tidak mahu hiburan atau pelancongan dalam negara ini,” katanya sebagai mengulas kritikan Teresa terhadap sikap Pemuda Pas Selangor yang didakwa terlalu obses membantah festival muzik dan hiburan di ibu negara.
Mengulas lanjut, Mohamed Sukri menegaskan, pihaknya tidak pernah menolak hiburan atau industri pelancongan, namun berpendapat setiap acara perlu menampilkan identiti dan budaya tempatan.
Katanya, Malaysia sepatutnya mengetengahkan keunikan budaya pelbagai kaum sebagai daya tarikan utama pelancong asing.
“Kita mahu pembangunan dan pelancongan, tetapi biarlah berasaskan identiti negara ini.
“Alangkah indahnya kalau pelancong datang ke Malaysia untuk melihat budaya Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan yang menjadi kekuatan negara,” jelas beliau.
Dalam pada itu, beliau turut mempertikaikan dakwaan memgenai penganjuran festival tertentu mampu menjana sehingga RM200 juta kepada ekonomi negara.
Tegas beliau, data berkenaan perlu disokong fakta dan angka tepat daripada badan berautoriti.
“Kalau data kerajaan begitu lengkap dan pantas diperoleh, banyak isu lain dalam negara pun boleh diselesaikan dengan lebih mudah,” ujar beliau.



