am@hmetro.com.my
Alor Gajah: Penganggur yang dipercayai terbabit dalam beberapa kes kecurian beg tangan di masjid sekitar daerah ini akhirnya ditahan polis, beberapa hari selepas kejadian tular.
Lelaki berusia 28 tahun itu kini direman selama empat hari bermula hari ini. Perintah reman hingga 12 Jun dikeluarkan Hakim Mahkamah Sesyen Kamarul Aris Kamalluddin.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, tangkapan dibuat susulan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular di media sosial memaparkan lelaki melarikan beg tangan milik jemaah wanita ketika mangsa sedang menunaikan solat Asar di Masjid Ar-Rasyidin, Kampung Jelatang, di sini, Sabtu lalu.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek dipercayai turut terbabit dalam beberapa lagi kes kecurian beg tangan di masjid sekitar daerah ini.
Suspek berjaya ditahan pada 8.35 malam tadi di kawasan Pegoh Alor Gajah dan kini direman mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.
Polis kini sedang melengkapkan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti kemungkinan penglibatan suspek dalam beberapa kes lain di rumah ibadat sekitar daerah berkenaan, katanya.
Rakaman CCTV berdurasi 23 saat tular memaparkan lelaki berbaju-T berwarna biru dan berseluar pendek melarikan beg tangan jemaah wanita ketika mangsa sedang menunaikan di masjid, Sabtu lalu.
Mangsa yang juga penuntut universiti berusia 19 tahun membuat laporan polis pada 6.24 petang hari sama.
© New Straits Times Press (M) Bhd




