LATEST

Penyatuan Melayu-Islam bukan hak eksklusif Pas, UMNO – Dr Dzulkefly

Penyatuan Melayu-Islam bukan hak eksklusif Pas, UMNO – Dr Dzulkefly

SHAH ALAM – Kerjasama antara Pas dan UMNO tidak bermakna kedua-dua parti itu mempunyai hak eksklusif untuk memperjuangkan agenda penyatuan Melayu dan Islam di negara ini.Menurut Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, beliau tidak mempertikaikan hak kedua-dua parti berkenaan untuk bekerjasama, namun menolak tanggapan bahawa hanya mereka berhak membawa agenda penyatuan Melayu-Islam.”Mereka sudah berkawan dan saya mahu sebutkan, itu hak. Tidak ada siapa yang boleh menghalang mereka untuk bersama.”Tetapi saya mahu menyebutkan bahawa hanya mereka sahaja yang berhak untuk mencetuskan atau membangunkan penyatuan Melayu dan Islam, itu satu kebatilan yang sangat-sangat perlu kita lawan dan tentang.”Kerana Islam bukan eksklusifnya milik Pas dan Melayu bukan eksklusifnya agenda UMNO,” katanya ketika menggulung perbahasan Pidato Presiden sempena hari kedua Konvensyen Nasional Amanah 2026 di Dewan Raja Muda Musa di sini pada Ahad.Dr Dzulkefly yang juga Menteri Kesihatan berkata, perjuangan penyatuan Melayu dan Islam tidak seharusnya berasaskan ketaasuban sehingga membawa kepada sikap angkuh, menolak kebenaran serta memperlekeh pandangan pihak lain.Dalam pada itu, beliau mengakui Amanah masih belum memperoleh sokongan dan dukungan yang diharapkan khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu-Islam.Beliau mendakwa, keadaan itu sebahagian besarnya berkait dengan pemikiran kebencian, ketakutan dan permusuhan yang dibawa serta dibudayakan oleh Pas dan UMNO.Dr Dzulkefly berkata, usaha mengubah pemikiran berkenaan bukan sesuatu yang mudah apabila kedua-dua parti itu seolah-olah merasakan mereka sudah menemui formula atau sentuhan kemenangan.Menurutnya, selepas kecundang dalam empat pusingan pilihan raya negeri (PRN), Amanah perlu mengakui realiti bahawa parti itu masih berdepan cabaran untuk mendapatkan sokongan masyarakat Melayu-Islam.Sehubungan itu, beliau mengingatkan anggota Amanah supaya tidak hanya menumpukan kepada kemenangan atau kekalahan pilihan raya, sebaliknya terus memperjuangkan pembinaan sebuah negara bangsa berteraskan nilai Madani.Beliau berkata, usaha menangani ketaasuban politik perlu dilakukan melalui pendekatan memujuk, memberikan penerangan dan meningkatkan mutu hujah bagi membina kefahaman masyarakat.Dr Dzulkefly turut menyentuh cabaran mengubah pemikiran sebahagian masyarakat Melayu-Islam yang masih memberikan sokongan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).Beliau mendakwa, terdapat kelompok yang masih dipengaruhi persepsi bahawa kemenangan Pakatan Harapan (PH) akan menyebabkan DAP atau masyarakat Cina menguasai negara.Ujarnya, perjuangan Amanah perlu diteruskan meskipun parti itu terpaksa berdepan dengan satu lagi kekalahan dalam pilihan raya.Beliau turut menegaskan, penyatuan Islam tidak bermaksud mengetepikan atau menzalimi penganut agama lain, manakala penyatuan Melayu pula tidak bermaksud memusuhi atau menzalimi kaum lain.Dr Dzulkefly juga yakin manah mampu membawa pendekatan penyatuan Melayu-Islam yang lebih inklusif serta meraikan kepelbagaian dalam masyarakat.

Latest news