am@hmetro.com.my
Kuala Nerus: “Perasaan saya kosong, hilang seluruh jiwa apabila menerima panggilan daripada isteri memaklumkan anak kami sudah tiada, ketika itu tak tahu nak cakap apa.
“Saya mandi dan ambil air sembahyang, terus solat sebelum bergegas pulang ke Terengganu,” kata Mohd Azrol Mat Din, 48, bapa angkat Muhammad Rifqi Rayyan Abdul Rahim, 14, yang maut dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal di Jalan Kampung Pecah Rotan, Batu Rakit, di sini, semalam.
Menurutnya, ketika itu dia baharu sampai di Temerloh, Pahang, atas urusan kerja sebagai panel penilai Jabatan Tenaga Manusia (JTM).
“Saya baru sampai di Temerloh apabila isteri hubungi saya memaklumkan kejadian itu menjelang waktu Maghrib.
“Bila dia maklumkan anak kami sudah tiada, saya terus tergamam, tidak dapat mengungkap kata-kata.
“Masa itu saya rasa separuh jiwa saya hilang. Saya tak tahu nak cakap apa, tak tahu nak fikir apa,” katanya ketika ditemui di pengebumian anak angkatnya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Mengabang Lekar, Batu Rakit, di sini, hari ini.
Menurutnya, selepas menunaikan solat, dia bergegas pulang ke Terengganu secepat mungkin.
Katanya, apabila tiba di Kemaman, dia meminta bantuan rakan dari Advanced Technology Training Centre (ADTEC) Kemaman untuk memandu supaya dapat sampai ke Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA), di sini, dengan segera.
“Alhamdulillah, rakan saya memahami situasi dan membantu saya untuk tiba dalam keadaan selamat bagi menguruskan proses bedah siasat dan pengebumian arwah,” katanya.
Menurut Mohd Azrol yang bertugas di ADTEC Marang, sepanjang perjalanan pulang, dia hanya berdiam diri kerana fikirannya kosong.
“Saya tidak mampu fikir apa-apa sepanjang perjalanan dan dalam fikiran, saya cuma mahu cepat sampai,” katanya.
Menceritakan lebih lanjut, Mohd Azrol berkata, dia tidak menyangka pelukan Muhammad Rifqi pada pagi semalam sebelum dia bertolak ke Temerloh menjadi pelukan terakhir mereka.
“Sebelum keluar rumah kira-kira jam 6.30 pagi, dia peluk saya seperti biasa.
“Saya sempat pesan supaya dia tengokkan mama sepanjang saya tiada dan tolong buang sampah, itu sahaja pesanan saya kepadanya.
“Tak sangka itulah kali terakhir pertemuan kami dan saya reda dengan kejadian yang menimpa kerana ia adalah ketentuan Ilahi,” katanya.
Menurutnya, Muhammad Rifqi merupakan satu-satunya anak yang dibesarkan bersama isterinya, Jariah Yusof, 46, sejak bayi.
“Bila dia dah tiada, rumah ini jadi sunyi, memang terasa seperti hilang sebahagian daripada diri saya,” katanya.
Dalam kejadian jam 6.30 petang semalam, Muhammad Rifqi yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Rakit maut di lokasi kejadian selepas motosikal Yamaha Ego Avantiz yang ditunggangnya bertembung dengan Honda EX5 yang terbabas ke laluan bertentangan selepas dilanggar dari belakang oleh motosikal SYM BX110.
Kemalangan itu turut mengorbankan penunggang SYM BX110, Muhamad Hazim Mohd Zawawi, 17, manakala penunggang Honda EX5 berusia 15 tahun mengalami kecederaan parah dan kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi, Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




