PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (PERKESO) mengagihkan 1,000 sistem pengenalan kecemasan digital berasaskan imbasan kod QR, MYRIDERID secara percuma kepada pencarum bersempena majlis pelancarannya di Stadium Negeri Pulau Pinang.
Inisiatif berkenaan adalah sebahagian daripada langkah berterusan PERKESO dalam memperkukuh perlindungan serta keselamatan penunggang motosikal di seluruh negara menerusi Kempen Penunggang Malaysia (MYRider).
Sistem MYRIDERID berfungsi sebagai identiti kecemasan digital yang menyimpan pelbagai maklumat penting penunggang, termasuk kontak kecemasan dan maklumat kesihatan peribadi.
Maklumat berkenaan boleh diakses secara pantas oleh pihak berkaitan melalui imbasan kod QR sekiranya berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini seperti kemalangan atau kecemasan di jalan raya.
PERKESO dalam kenyataan berkata, pelaksanaan sistem baharu ini amat bertepatan dengan slogan “Maklumat Tepat, Nyawa Selamat” yang memanfaatkan sepenuhnya kemajuan teknologi digital.
“Penggunaan kod QR itu membolehkan maklumat kritikal dicapai dalam tempoh singkat, sekali gus menyokong pengurusan serta respons kecemasan pasca kemalangan yang jauh lebih cekap dan efektif,” katanya.
Menurutnya, usaha pemantapan ini juga merupakan sebahagian daripada pendekatan keselamatan jalan raya yang komprehensif oleh PERKESO, merangkumi aspek pencegahan, perlindungan dan respons.
“Langkah inovatif ini diambil rentetan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menunjukkan penunggang motosikal terus kekal sebagai kumpulan pengguna jalan raya paling berisiko tinggi di negara ini.
“Berdasarkan data PDRM, penunggang motosikal merangkumi 65 peratus daripada 6,581 kes kematian keseluruhan yang direkodkan di jalan raya sepanjang tahun 2025,” katanya.
Menurutnya, inovasi MYRIDERID ini diyakini mampu menyelamatkan nyawa dengan memastikan maklumat penting pencarum dapat dicapai pada saat paling kritikal, di samping menzahirkan komitmen PERKESO dalam meneroka nilai tambah perlindungan sosial.
Sementara itu, dalam majlis sama, PERKESO turut mengadakan pertukaran Memorandum Kolaborasi (MoC) bersama Boon Siew Honda Sdn Bhd dan MForce Bike Holdings Sdn Bhd bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam mempromosikan keselamatan motosikal.
Kolaborasi itu akan memberi tumpuan kepada program advokasi, pendidikan dan pembudayaan keselamatan jalan raya yang menyokong aspirasi melahirkan penunggang Malaysia yang selamat, berhemah dan bermaruah.
Program pelancaran itu turut dihadiri oleh Ketua Bahagian Perubatan, Pencegahan dan Pemulihan PERKESO, Dr Azlan Darus; Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, Kunitomo Asano serta Ketua Pegawai Operasi MForce Bike Holdings, Asri Ahmad.
© New Straits Times Press (M) Bhd

