khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 yang berlangsung petang ini mendapat tumpuan dan mencetuskan gelak ketawa dari perwakilan yang hadir melalui perbahasan seorang jurucakap UMNO dari Kedah yang membawa dua buah beg diterimanya.
Naib Ketua UMNO Bahagian Pokok Sena, Noran Zamini Jamaluddin berkata, apabila menjadi perwakilan, beliau memperoleh dua beg iaitu semasa PAU 2025 dan sebuah lagi ketika menghadiri PAU 2018.
Noran membandingkan jenis beg diterima iaitu semasa Barisan Nasional (BN) kalah pada tahun 2018 dan ketika parti itu bersama dengan Kerajaan Perpaduan hari ini.
Noran menggambarkan beg diterima pada tahun 2018 itu seolah-olah seperti beg penjual ubat, manakala beg PAU 2025 tahun ini mempunyai pelbagai fungsi seperti boleh meletakkan komputer riba.
“Hari ini saya bawa dua beg perwakilan. Satu yang saya dapat hari ini, satu lagi semasa saya jadi jurucakap tahun 2018, masa BN kalah. Selepas kalah, kita jadi pembangkang. Saya nak tunjuk beza beg ini.
“Ini beg tahun 2018. Saya bukan nak hina, bagi beg macam mana pun kita terima, kita syukur. Tapi (beg) ini zaman pembangkang, kita teringat dulu orang ada jual minyak angin di kampung-kampung (bawa beg ini)
“Tahun 2026, kita kembali kepada beg yang asal. Boleh isi laptop,” selorohnya yang kemudian mencetuskan gelak ketawa perwakilan di dalam Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Noran berkata, melalui beg PAU 2025 ini, pihaknya yakin UMNO dan BN berada di landasan untuk kembali memimpin negara satu hari nanti.
“Kalau tengok beg ini, nampaknya kita berada di landasan untuk kembali. Terima kasih Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang bawa UMNO ke tahap ini buat masa ini,” katanya.
Dalam pada itu, Noran berkata, UMNO seharusnya tidak sesekali hilang kuasa, kerana ia mendatangkan kesan kepada rakyat di negara ini.
“Hari ini baru saya betul-betul sedar. UMNO tidak boleh kalah, UMNO tidak boleh hilang kuasa. Bila UMNO hilang kuasa, beras tempatan pun hilang di pasaran.
“Perasan tak?Tak ada beras tempatan. (Beras) 10 kilogram (kg) dulu harganya RM23 tetapi hari ini harganya RM42.
“(Manakala beras) lima kilogram dulu harganya RM13 tetapi sekarang RM26. Itulah natijah apabila UMNO kalah dan hilang kuasa, beras pun hilang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




