PH ada rekod cemerlang tadbir Melaka

PH ada rekod cemerlang tadbir Melaka

MELAKA: Rekod pentadbiran ketika menerajui kerajaan negeri yang boleh dianggap cemerlang di bawah kepemimpinan bekas Ketua Menteri, Adly Zahari akan menjadi modal berkempen Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, rekod pada 2018 membuktikan gabungan itu mampu menawarkan penyelesaian masalah dan pelaksanaan dasar, bukannya sekadar menjanjikan sesuatu yang belum terbukti.

Menurutnya, beberapa inisiatif yang diperkenalkan ketika pentadbiran Adly, termasuk Rumah Rakyat Melaka dan usaha menarik pelaburan, masih memberi kesan sehingga kini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita datang ke Melaka bukan hanya dengan menawarkan sesuatu yang di awang-awangan. Kita pernah ada pengalaman.

“Adly merupakan bekas Ketua Menteri Melaka sebelum Langkah Sheraton dan beberapa tindakan beliau seperti Rumah Rakyat Melaka serta beberapa inisiatif tentang pelaburan masih berkesan sehingga sekarang,” katanya ketika berucap pada ‘Ceramah Umum Skandal Tabung Haji (TH): Siapa Khianat Orang Melayu Islam?’ di Bilik Gerakan Utama PH, Bukit Baru di sini malam tadi.

Amirudin berkata, PH yakin barisan kepemimpinan berpengalaman mampu menawarkan pentadbiran negeri lebih baik sekiranya diberikan kepercayaan oleh rakyat pada PRN kali ini.

Menurutnya, PH secara konsisten memperjuangkan tadbir urus yang baik, pembelaan terhadap rakyat serta pengurusan kewangan yang telus tanpa penyelewengan dan salah guna kuasa.

Beliau berkata, keutamaan sesebuah kerajaan sepatutnya memastikan wang rakyat diuruskan dengan baik, kemiskinan ditangani, kos sara hidup dikawal serta keharmonian masyarakat berbilang kaum terus dipelihara.

“Politik perkauman dan politik identiti telah memerangkap banyak negara dan bangsa, sedangkan tugas sebenar kerajaan adalah mengurus nasib rakyat serta memastikan mereka mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya. – UTUSAN 

Scroll to Top