Platini dakwa Infantino terlalu taksub dengan golongan kaya, berkuasa

Platini dakwa Infantino terlalu taksub dengan golongan kaya, berkuasa

London: Bekas Presiden Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA), Michel Platini mendakwa Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino semakin bersifat autokrat dan terlalu cenderung kepada golongan kaya serta berpengaruh, menurut temu bual bersama The Guardian, semalam.

Infantino pernah menjadi timbalan Platini antara tahun 2009 hingga 2015 ketika legenda Perancis itu menerajui badan induk bola sepak Eropah.

“Beliau nombor dua yang baik, tetapi bukan nombor satu yang baik,” kata Platini mengenai Infantino.

“Beliau bekerja dengan amat baik di UEFA, tetapi ada satu masalah: beliau suka berdamping dengan orang kaya dan berkuasa, mereka yang ada wang. Itu memang wataknya.

“Beliau memang begitu ketika menjadi nombor dua, cuma ketika itu bukan bos.”

“Malangnya, Infantino semakin bersifat autokrat sejak pandemik,” katanya.

Menjelang Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Mexico, Infantino menjalin hubungan rapat dengan Presiden AS, Donald Trump dan memperkenalkan anugerah khas keamanan FIFA yang diberikan kepada Trump semasa undian kejohanan itu, bulan lalu.

Peguam Switzerland-Itali itu mengambil alih jawatan presiden FIFA pada 2016 menggantikan Sepp Blatter yang dibelenggu skandal, namun Platini percaya gaya kepimpinan berpusat kuasa Infantino menjadikan FIFA kurang demokratik berbanding era Blatter.

“Tahap demokrasi kini lebih rendah berbanding zaman Blatter. Apapun orang mahu kata mengenai Blatter, masalah utamanya adalah beliau mahu kekal di FIFA seumur hidup.

“Beliau sebenarnya seorang yang baik untuk bola sepak,” kata Platini kepada The Guardian.

“Pentadbir bola sepak hari ini sekadar menjalankan tugas. Ramai yang tidak kisah sama ada itu bola sepak atau bola keranjang. Tidak semestinya mereka bekerja di UEFA atau FIFA kerana cinta kepada bola sepak.”

Platini sejak beberapa tahun lalu lantang mengkritik Infantino dan kelompok terdekat beliau, termasuk menuduh beliau menggagalkan peluangnya menjadi presiden FIFA dengan memaklumkan kepada pihak pendakwa Switzerland mengenai pembayaran tanpa dokumen bernilai 2 juta Swiss franc (RM10.09 juta) daripada Blatter kepadanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top