Popovic akui Australia kalah dari segi intensiti

Popovic akui Australia kalah dari segi intensiti

Seattle: Pengendali Australia, Tony Popovic mengakui kelemahan sendiri menjadi punca kekalahan 0-2 kepada Amerika Syarikat (AS) dalam aksi Kumpulan D Piala Dunia 2026 di Seattle, hari ini.

Australia yang menang perlawanan pembukaan menentang Turkiye, kembali ke bumi nyata selepas melepaskan dua gol pada separuh masa pertama yang menyukarkan mereka untuk bangkit.

Kesilapan awal menyaksikan mereka dibolosi menerusi gol sendiri pada minit ke-11 sebelum Alex Freeman menggandakan kedudukan tuan rumah sebelum rehat.

Popovic mengakui anak buahnya gagal menandingi intensiti permainan Amerika Syarikat.

“Kualiti mereka jelas, kekuatan mereka jelas, atletik mereka juga jelas. Tiada kejutan dengan apa yang mereka lakukan, tetapi kami tidak mampu menandingi itu pada separuh masa pertama,” katanya.

“Kami lambat dalam setiap perebutan bola dan sukar untuk mendapatkan semula momentum. Gol yang kami bolos juga terlalu mudah, dan kami kelihatan lesu serta tidak bertenaga,” tambahnya.

Popovic melakukan tiga pertukaran pada awal separuh masa kedua yang menyaksikan prestasi pasukan lebih baik dan lebih seimbang.

“Kami tidak mempunyai banyak pengalaman bermain di liga besar, tetapi reaksi pemain sangat baik. Mereka tidak mudah menyerah,” katanya.

Popovic turut memuji kebangkitan anak buahnya walaupun gagal menjaringkan gol yang boleh mengubah keadaan perlawanan.

Sementara itu, pertahanan Australia, Harry Souttar menegaskan fokus kini terarah kepada perlawanan terakhir Kumpulan D menentang Paraguay.

“Kami pasukan yang berdaya tahan. Sekarang masa untuk pulih dan fokus sepenuhnya kepada Paraguay,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top