am@hmetro.com.my
Seremban: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan Datuk Seri Aminuddin Harun akan terus dikekalkan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan sekiranya Pakatan Harapan (PH) memperoleh mandat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), 1 Ogos depan.
Perdana Menteri berkata, pengundi di negeri ini perlu memberi peluang kepada PH meneruskan pentadbiran sedia ada demi menjamin kestabilan dan kesinambungan pembangunan negeri.
“Sekarang, saya minta mandat kepada Kerajaan PH Negeri Sembilan… bagi mandat ini, Tok Min (Aminuddin) dilantik sebagai Menteri Besar.
“Insya-Allah, masa depan Negeri Sembilan lebih terjamin. Masa depan negeri ini adalah masa depan pekerja, peniaga-peniaga kecil,” kata beliau ketika berucap melancarkan jentera pilihan raya PH Negeri Sembilan di sini malam ini.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu turut mempersoalkan alasan di sebalik usaha menjatuhkan kerajaan negeri pimpinan Aminuddin walaupun tiada dakwaan salah guna kuasa atau isu integriti membabitkannya.
“Tanah mana yang Tok Min curi? Projek balak mana yang diambil?
“Kalau ada isu rakyat terabai, rasuah atau salah guna kuasa, kita boleh bincang. Tetapi apa sebabnya kerajaan ini hendak dijatuhkan?” soalnya.
Anwar berkata, beliau sendiri sering mengingatkan semua pihak supaya mengekalkan kestabilan politik dan memberi ruang kepada kerajaan melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.
“Belum sampai tiga tahun lagi penggal (Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan) ini. Tetapi ada yang tidak sabar dan terus mahu berebut kuasa,” katanya yang turut menyeru rakyat di negeri ini supaya menggunakan kuasa undi memilih kerajaan negeri yang stabil, sealiran dengan Persekutuan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




