Penyatuan parti Melayu mungkin berlaku menjelang PRU-16 – MB Perlis

Penyatuan parti Melayu mungkin berlaku menjelang PRU-16 – MB Perlis

am@hmetro.com.my

Kangar: Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah menjangkakan kemungkinan akan wujud jajaran baharu membabitkan penyatuan parti politik Melayu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) akan datang.

Tanpa mendedahkan secara lanjut, beliau berkata kewujudan gabungan itu bagi mempertahankan orang Melayu dan kedaulatan institusi Diraja negara ini.

Katanya, beliau sendiri menyokong penuh sekiranya jajaran baharu berkenaan dapat direalisasikan dan diuruskan dengan baik pada masa akan datang.

“Saya nampak perkara paling penting sekali ialah penyatuan parti-parti Melayu ini mesti diadakan. Kemungkinan besar ada jajaran baharu dan sebagainya.

“Kita mendoakan jajaran baharu ini diuruskan dengan lebih baik demi Melayu dan mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

“Apa pun keputusan kelak, kita akan menanti ketetapan di peringkat Pusat,” katanya pada sidang media di Kompleks Seri Putra, di sini, hari ini.

Abu Bakar yang berkata pemimpin peringkat negeri wajar diberikan mandat untuk menentukan corak hubungan politik masing-masing, berikutan landskap politik yang berbeza di setiap negeri.

“Corak politik di Negeri Sembilan lain, di Johor lain dan di Perlis juga lain.

“Memanglah kita di peringkat bawah ada Presiden (di atas), jadi kita perlu selari (dengan Pusat)… tetapi mandat hendaklah diberi kepada pentadbir negeri kerana kita lebih tahu keadaan di tempat kita,” katanya.

Mengulas status pentadbiran kerajaan negeri ketika ini, beliau berkata Perlis akan terus ditadbir seperti biasa di bawah Perikatan Nasional (PN) tanpa sebarang hasrat membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam masa terdekat.

Ketetapan itu, katanya selaras titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail agar kerajaan negeri sedia ada kekal mentadbir sehingga Disember 2027.

Meskipun mengakui wujud kemelut antara BERSATU dan PAS di peringkat Pusat ketika ini, beliau memberi jaminan hubungan kedua-dua parti itu di Perlis kekal harmoni.

“Saya yakin tidak akan ada sebarang usul undi tidak percaya dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS terhadap pentadbiran kerajaan negeri pada ketika ini.

“Setakat ini, pentadbiran berjalan seperti biasa bersama barisan EXCO yang terus berkhidmat demi rakyat, tanpa mengetepikan sebarang bentuk bantuan kepada mana-mana kawasan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top