KUALA TERENGGANU – Perikatan Nasional (PN) mangakui gabungan itu mempunyai pelbagai pilihan dan pendekatan dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebarang langkah dan strategi termasuk kemungkinan bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) akan dibincangkan bersama semua parti komponen.
”Kita mempunyai pelbagai pilihan. Apa langkah seterusnya akan kita bincangkan secara bersama dalam PN.
”Setakat ini, kita belum berbincang secara rasmi dengan mana-mana pihak. Kita baru sahaja selesai PRN Negeri Sembilan, jadi ambil masa sedikit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan perasmian Sambutan Hari Renjer Sedunia 2026 peringkat negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini pada Isnin.
Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyatakan kesediaan Pas untuk mengadakan rundingan dengan UMNO bagi menentukan pembahagian kerusi pada PRN Melaka, termasuk mempertimbangkan semula kedudukan kerusi yang dimenangi parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Menurutnya, rundingan berhubung perkara itu dijangka diadakan dalam masa terdekat, namun belum ada tarikh khusus ditetapkan.
Jelas beliau, rundingan di peringkat Pas dan Perikatan Nasional (PN) itu buat masa ini tidak membabitkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Sementara itu, mengulas mengenai desas-desus berhubung peluang meneruskan kerjasama politik bersama BN, Ahmad Samsuri menjelaskan bahawa perkara tersebut itu antara pilihan yang akan dipertimbangkan oleh kepimpinan PN.
Menurut beliau, fokus ketika ini adalah untuk memberikan ruang dan masa kepada kepimpinan gabungan sebelum membuat sebarang keputusan rasmi memandangkan jentera parti baru sahaja selesai menghadapi saingan dalam PRN Negeri Sembilan.