PRN Negeri Sembilan: PH parti tawarkan harapan bukan kebencian – Fahmi Fadzil

PRN Negeri Sembilan: PH parti tawarkan harapan bukan kebencian – Fahmi Fadzil

Pakatan Harapan (PH) menegaskan pendekatan politik berasaskan harapan akan terus menjadi teras kempen gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, sambil menggesa semua parti bertanding mengutamakan dasar dan penyelesaian kepada masalah rakyat berbanding memainkan sentimen perkauman serta agama.

Ketua Komunikasi PH, Datuk Seri Ahmad Fahmi Fadzil berkata, setiap warganegara yang layak mempunyai hak untuk memilih kerajaan dalam pilihan raya dan persaingan politik seharusnya berpaksikan idea, rekod pencapaian serta tawaran terbaik kepada rakyat.

Menurut beliau, cubaan sesetengah pihak memainkan sentimen perkauman sempit dan menyebarkan ketakutan hanya bertujuan mengalih perhatian rakyat daripada isu sebenar yang dihadapi mereka.

“Apabila sebuah parti tidak yakin dengan rekod dan tawarannya, mereka akan menjual kebencian dan permusuhan. Apabila sebuah parti yakin dengan rekod dan tawarannya, mereka akan menawarkan harapan berdasarkan fakta, janji dan pencapaian.
“Pakatan Harapan memilih untuk menawarkan harapan, bukan kebencian,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Beliau berkata, rakyat Negeri Sembilan tidak mahukan politik kebencian yang boleh menghakis keharmonian masyarakat, sebaliknya mengharapkan penyelesaian terhadap isu pekerjaan bergaji tinggi, pemilikan rumah, kos sara hidup dan pertumbuhan ekonomi negeri.

Katanya, politik yang berteraskan kebencian dan ketakutan tidak akan membuka peluang pekerjaan, manakala politik perkauman tidak mampu menurunkan harga barang, membina rumah mampu milik atau membawa masuk pelaburan baharu.

Artikel lain: Fahmi sifatkan tindakan 8 Ahli Kongres AS biadab! -“Jangan campur urusan negara Malaysia”

Sehubungan itu, Ahmad Fahmi menyeru semua parti politik supaya mematuhi undang-undang pilihan raya serta memastikan baki tempoh kempen berlangsung secara matang, berilmu dan berasaskan fakta.

“Bertandinglah dengan dasar, bertandinglah dengan rekod dan prestasi. Bawalah cadangan-cadangan dan penyelesaian.
“Jangan bertanding atas dasar kebencian yang cuba memecahbelahkan ataupun menimbulkan rasa takut dalam kalangan rakyat,” katanya.

Beliau turut menegaskan Negeri Sembilan selama ini dikenali sebagai negeri yang aman dan harmoni, justeru perpaduan yang dibina sekian lama tidak seharusnya dirosakkan demi kepentingan politik.

“Pada PRN, rakyat akan membuat pilihan yang amat besar. Pilihan antara politik yang menyatukan rakyat atau politik yang memecahbelahkan; antara fakta atau fitnah; antara kepimpinan yang bekerja atau politik yang hanya mencipta persepsi dan kebencian.
“Pakatan Harapan akan terus menawarkan politik yang sederhana, inklusif dan menyatupadukan rakyat, apapun kaum, agama dan keturunan. Negeri Sembilan tidak perlukan politik kebencian,”ujar beliau.

Scroll to Top