PTPTN santuni keluarga OKU, sumbang RM1,000 akaun Simpan SSPN Prime kepada anak

PTPTN santuni keluarga OKU, sumbang RM1,000 akaun Simpan SSPN Prime kepada anak

SHAH ALAM – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Ziarah Kasih PTPTN menyumbangkan RM1,000 dalam bentuk pembukaan akaun Simpan SSPN Prime kepada keluarga seorang orang kurang upaya (OKU), Zaim Zazami Ibrahim.

Sumbangan itu diserahkan kepada anak tunggalnya, Zuyyin Kayyisa Zaim Zazami, 4, yang bakal memulakan alam persekolahan pada tahun hadapan.

Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, pihaknya memahami bahawa setiap keluarga mempunyai cabaran dan keperluan tersendiri.

Menerusi program tersebut, kata beliau, PTPTN bukan sahaja hadir untuk menyantuni masyarakat, tetapi juga mengambil peluang mendekati, mendengar, memahami keperluan dan menghulurkan sokongan bersesuaian bagi meringankan beban penerima sumbangan.

“Sumbangan ini mungkin satu langkah kecil hari ini, tetapi kami harap ia menjadi permulaan kepada tabungan pendidikan yang dapat berkembang seiring usianya.

“Kami mahu anak-anak mempunyai persediaan kewangan apabila tiba masanya untuk melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi kelak.

“PTPTN sentiasa menggalakkan masyarakat menjadikan simpanan pendidikan sebagai sebahagian daripada perancangan kewangan keluarga supaya impian anak-anak untuk melanjutkan pengajian dapat dirancang dengan lebih baik,” katanya pada Rabu.

Sumbangan kepada keluarga Zaim Zazami di Cyberjaya disampaikan oleh Norliza dan turut dihadiri Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid serta Pengurus Besar Kanan, Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran, Wan Zawiah Wan Abu Bakar.

PTPTN mempunyai dua produk simpanan iaitu Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus yang menawarkan pelbagai keistimewaan serta manfaat.

Keistimewaan Simpan SSPN Prime ialah perlindungan takaful percuma secara Ringgit ke Ringgit kepada pendeposit yang mempunyai simpanan RM1,000 dan ke atas jika berlaku kematian atau ilat kekal menyeluruh.

Selain itu, pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, Geran Sepadan sehingga RM10,000 bagi satu keluarga yang layak, dividen kompetitif, patuh syariah dan simpanan dijamin kerajaan.

Simpan SSPN Plus pula menawarkan enam pakej serendah RM30 sebulan (Pakej Intan) hingga RM500 sebulan (Pakej Berlian) dengan manfaat perlindungan takaful ke atas pendeposit sehingga RM1.2 juta.

Ia termasuk manfaat khairat kematian kepada pendeposit, pasangan dan anak-anak serta perlindungan takaful sehingga umur pendeposit 69 tahun, tertakluk syarat yang ditetapkan.

Scroll to Top