Radium labur RM135 juta bangun hotel pertama

Radium labur RM135 juta bangun hotel pertama
Radium labur RM135 juta bangun hotel pertama

Gary (lima dari kanan) dan Jason (empat dari kanan) bergambar bersama wakil syarikat pada Majlis Pelancaran The Face Chancery Hotel di Kuala Lumpur di sini pada Isnin.

KUALA LUMPUR – Radium Development Berhad (Radium) mengorak langkah dalam sektor hospitaliti menerusi pelancaran hotel pertama syarikat itu, The Face Chancery Hotel yang dijadual beroperasi pada 2028.

Hotel empat bintang itu merupakan sebahagian daripada pembangunan bercampur Chancery di Ampang dengan pelaburan berjumlah RM135 juta termasuk RM109.3 juta yang diperuntukkan daripada hasil penyenaraian awam permulaan (IPO) syarikat pada 2023.

Pengarah Urusan Kumpulan Radium Development Berhad, Datuk Gary Gan Kah Siong berkata, projek itu sebahagian daripada strategi syarikat untuk mewujudkan sumber pendapatan berulang selain perniagaan pembangunan hartanah.

“Hotel ini akan membawa permintaan daripada pelancong, pengembara perniagaan dan tetamu jangka panjang sekali gus mengukuhkan nilai keseluruhan pembangunan Chancery.

“Ini merupakan langkah strategik untuk membina pendapatan berulang yang dapat melengkapkan perniagaan pembangunan hartanah kami dalam jangka panjang,” katanya pada Majlis Pelancaran The Face Chancery Hotel dan Pengumuman Kerjasama Strategik antara Radium Development Berhad dengan The Face Hospitality di sini pada Isnin.

The Face Chancery Hotel menempatkan 145 bilik di aras 10 hingga 14 bangunan 51 tingkat Chancery.

Operasi keseluruhan hotel itu dijangka mencapai tahap stabil menjelang tahun ketiga dengan kadar penghuni antara 55 hingga 65 peratus serta menjana hasil kira-kira RM20 juta setahun.

Pembangunan Chancery yang dijadual siap pada 2028 turut merangkumi unit SOHO hibrid serta taman gaya hidup seluas 10,000 kaki persegi yang direka untuk menyokong gaya hidup bandar moden.

Hotel itu menyediakan kemudahan termasuk restoran, kolam renang infiniti, gimnasium dan bilik mesyuarat selain ciri digital seperti daftar masuk tanpa kaunter, kawalan pintar dalam bilik serta dispenser air panas dan sejuk.

Sementara itu, Pengurus Besar Kluster The Face Hospitality, Jason S’ng berkata, pihaknya berbesar hati dilantik sebagai rakan perunding hospitaliti bagi projek berkenaan.

Jason memberitahu, pihaknya akan membantu dari aspek perancangan reka bentuk, kedudukan jenama, operasi dan strategi pasaran bagi memastikan hotel itu berdaya saing apabila mula beroperasi kelak.

Beliau berkata, lokasi Chancery di koridor Ampang yang menempatkan banyak kedutaan memberi kelebihan untuk menarik permintaan daripada segmen perniagaan dan pelancongan.

 

 

 

 

 

Scroll to Top