KANGAR: Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Majlis Hari Anugerah Cemerlang dan Hari Kokurikulum Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Lailatul Shahreen di sini semalam.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengarah Pendidikan Perlis, Rose Aza Che Arifin dan Pengetua sekolah itu, Lili Mariam Mohammad @ Mokhtar.
Tuanku Lailatul Shahreen dalam titahnya menzahirkan bahawa majlis yang penuh bermakna ini merupakan wadah untuk menghargai kejayaan serta usaha gigih para pelajar di samping mencerminkan komitmen berterusan seluruh warga sekolah dalam membudayakan kecemerlangan pendidikan.
Titah baginda, majlis penganugerahan ini bukan sekadar pentas mengiktiraf pencapaian akademik semata-mata, malah menjadi simbol kejayaan sekolah dalam melahirkan murid yang seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial, selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Tuanku Lailatul Shahreen turut merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua penerima anugerah atas kejayaan yang telah dicapai.
“Jadikanlah pengiktirafan ini sebagai pemangkin untuk terus menimba ilmu, memperkukuh sahsiah serta membina karakter unggul agar menjadi insan yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.
“Ingatlah bahawa kecemerlangan sebenar bukan hanya diukur melalui pencapaian akademik, tetapi turut terserlah melalui pembinaan akhlak yang mulia, disiplin yang tinggi serta keazaman untuk terus berbakti,” titah baginda.
Sempena majlis tersebut, baginda berkenan menyempurnakan penyampaian Anugerah Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis kepada Muhammad Irfan Hadi Mohamad Yusri.
Baginda juga berkenan menyampaikan Anugerah Khas Kategori pelajar kepada Nur Zulaikha Julaihi (Ikon Akademik), Muhammad Afif Syafiq Shariffudin (Ikon Kepimpinan dan Ikon Sukan) serta Izz Damia Rizq Muhammad Faizal (Ikon Koakademik).
Selain itu, baginda turut berkenan menyempurnakan penyampaian Anugerah Pencapaian Terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 kepada para pelajar cemerlang sebagai tanda penghargaan atas kecemerlangan akademik yang telah mereka capai.
Seramai tujuh pelajar menerima anugerah bagi kategori 9A, enam orang bagi kategori 8A, sebelas orang bagi kategori 7A, manakala lima orang lagi menerima anugerah bagi kategori 6A.
Tuanku Lailatul Shahreen menzahirkan harapan agar SMK Tuanku Lailatul Shahreen terus melakar lebih banyak kejayaan dan kecemerlangan pada masa hadapan, seterusnya kekal sebagai sebuah institusi pendidikan yang unggul serta menjadi kebanggaan umat Negeri Perlis.-UTUSAN




