RINGGIT mengakhiri urus niaga Rabu dengan mencatat prestasi mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang pengumuman Indeks Harga Pengguna (IHP) AS bagi Julai, lewat malam ini.
Data berkenaan penting dalam usaha memberi petunjuk mengenai hala tuju kadar faedah utama di negara maju berkenaan.
Pada 6 petang ini, nilai ringgit meningkat kepada 4.0835/0875 berbanding dolar AS daripada paras 4.0905/0940, semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit mendapat sokongan baik berbanding dolar AS hari ini ketika mata wang Asia lain sebaliknya mencatat prestasi bercampur-campur berbanding dolar AS.
“Jelaslah, peserta pasaran lebih bertahan dan mengambil sikap berhati-hati ketika menunggu pengumuman data penting itu malam. Jangkaan awal menunjukkan inflasi IHP itu pada 3.4 peratus dalam Julai berbanding 3.5 peratus pada Jun,” katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berkata, kalangan ahli ekonomi turut menjangkakan kadar inflasi AS yang sederhana bagi Julai 2026.
“Bagaimanapun, mengambil kira keadaan harga minyak mentah yang tinggi, sebarang angka inflasi yang lebih tinggi daripada jangkaan boleh menyebabkan dolar AS tambah mengukuh. Buat masa ini, Indeks Dolar AS (DXY) agak tidak berubah pada 99.855 mata,” katanya.
Pada penutup hari ini, ringgit turut diniagakan mengukuh berbanding kelompok mata wang utama lain.
Ini termasuk naik berbanding yen Jepun kepada 2.5655/5682 daripada 2.5680/5703, mengukuh berbanding euro kepada 4.7107/7153 daripada 4.7188/7228 dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.5180/5234 daripada 5.5238/5285 sebelum ini.
Berbanding mata wang serantau, ringgit juga diniagakan kebanyakannya meningkat.
Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.1905/1941 daripada 3.1930/1962 dan mengukuh berbanding peso Filipina kepada 6.67/6.68 daripada 6.68/6.69.
Prestasi berbanding rupiah Indonesia menyaksikan ringgit naik kepada 228.4/228.7 daripada paras penutup semalam pada 229.0/229.3, namun susut sedikit berbanding baht Thailand kepada 12.3488/3665 daripada 12.3323/3481. – Bernama
