CRISTIANO Ronaldo kembali menemui sentuhan jaringan bersama Al Nassr ketika mencetak gol pembukaan dalam kemenangan 3-0 ke atas Al Diriyah pada JSabtu sekali gus mencuri perhatian susulan kemelut bersama ketua jurulatih Portugal, Jorge Jesus.
Penyerang berusia 41 tahun itu tidak menunggu lama untuk kembali mencipta impak apabila meledak gol seawal minit ke-23 dalam aksi Liga Pro Arab Saudi berkenaan.
Ronaldo mudah menyudahkan bola muntah selepas penjaga gol Al Diriyah, Waleed Abdullah gagal menangkap kemas rembatan Kingsley Coman.
Jaringan itu menyaksikan kapten Portugal berkenaan kini mengumpul 980 gol sepanjang kariernya di peringkat kelab dan antarabangsa, semakin menghampiri angka keramat 1,000 gol.
Namun, di sebalik kejayaan tersebut, masa depan Ronaldo bersama skuad kebangsaan Portugal masih menjadi tanda tanya selepas tercetus pertelingkahan yang mencetuskan perhatian dunia bola sepak.
Pemenang lima kali Ballon d’Or itu dilaporkan meninggalkan kem latihan Portugal selepas tidak diturunkan ketika pasukannya mencatat kemenangan 2-1 ke atas Norway dalam aksi Liga Negara-Negara.
Ronaldo kemudian mengeluarkan kenyataan terbuka yang mendakwa Jesus memungkiri janji berhubung peluang beraksi selain menjelaskan bahawa beliau tidak berhasrat untuk bersara daripada bola sepak antarabangsa.
Situasi itu mencetuskan persoalan mengenai hubungan kedua-dua figura berkenaan apatah lagi Jesus yang pernah membimbing Al Nassr menjuarai liga domestik musim lalu kini berdepan perkembangan terbaharu membabitkan bekas anak buahnya itu.
Jaringan terbaharu Ronaldo bersama kelab Arab Saudi itu juga seolah-olah menjadi jawapan di atas padang membuktikan naluri penyudahnya masih berbisa meskipun berdepan kemelut di luar padang.
Bagaimanapun, tindakan meninggalkan kem latihan Portugal secara mengejut berpotensi mengundang tindakan disiplin daripada Persekutuan Bola Sepak Portugal (FPF).
Walaupun belum mengumumkan persaraan, episod terbaharu itu berisiko membayangi legasi Ronaldo bersama Portugal, pasukan yang menyaksikannya muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman dengan 146 gol serta pemegang rekod penampilan sebanyak 234 perlawanan.



