am@hmetro.com.my
Johor Bahru: “Sudah lebih dua tahun dia ‘ghaib’ dari keluarga, akhirnya kami terkilan apabila menerima panggilan daripada ceti haram yang mahu menuntut hutang,” katanya seorang ibu yang hanya mahu dikenali sebagai Siah, 44.
Siah berkata, dia tidak sangka anak lelaki berusia 27 tahun itu menimbulkan pelbagai kesulitan kepada keluarga apabila bukan saja berhutang dengan ceti haram malah mendedahkan maklumat ahli keluarga.
Akibatnya, keluarganya menjadi sasaran ceti haram termasuk berdepan ugutan sejak Disember tahun lalu.
Katanya, ceti haram itu mula mengganggunya, anak-anak serta adik iparnya termasuk mengancam untuk menyimbah cat merah termasuk membakar rumah yang didiaminya.
“Sebenarnya saya pun tidak tahu anak saya berhutang dengan ceti haram sehingga saya dan keluarga terima ugutan ini kerana sudah lama dia tidak bertanya khabar kami.
“Hampir setiap hari mereka minta duit, misalnya hari ini tuntut RM3,000, esok minta RM5,000 dan saya juga terkejut bila ceti haram itu menyimpan segala maklumat lengkap ahli keluarga.
“Oleh itu saya nekad memutuskan hubungan kerana saya tidak mampu (bayar) dan tidak tahu di mana dia berada,” katanya di sidang media di Taman Maju Jaya, di sini, hari ini.
Siah berkata, dia juga sudah membuat laporan polis berhubung perkara terbabit kerana bimbangkan keselamatan dirinya serta keluarga.
“Kami difahamkan sehingga sekarang dia tidak membuat sebarang pembayaran kepada ceti haram berkenaan.
“Saya juga berharap agar mereka tidak lagi mengganggu saya serta keluarga lagi,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Andrew Chen Kah EngKah Eng berkata, kes sedemikian wajar dilaporkan kepada pihak polis dan agensi berkaitan kerana sindiket ceti haram berkenaan dilihat memiliki rangkaian teratur serta akses kepada maklumat peribadi mangsa.
“Bagi kes seperti ini, sukar untuk kita mengesan mereka, hanya dapat berhubung menerusi telefon sahaja.
“Lebih buruk, ahli keluarga yang tidak bersalah turut berdepan masalah kerana turut menerima ugutan daripada ceti haram.
“Oleh itu, kita meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagaimana sindiket ini dengan mudah memperoleh data maklumat peribadi keluarga mangsa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




