Seorang maut, enam cedera kemalangan dua kenderaan di Lok Kawi

Seorang maut, enam cedera kemalangan dua kenderaan di Lok Kawi

am@hmetro.com.my

Putatan: Seorang lelaki maut manakala enam lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Pantai Lok Kawi, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, Proton Iswara tercampak ke dalam parit manakala kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton terbalik di lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Putatan, Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.04 pagi sebelum menggerakkan anggota dengan bantuan balai Penampang ke lokasi kejadian sejauh kira-kira lapan kilometer.

“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati seorang mangsa lelaki yang berada di dalam Proton Iswara tersepit.

“Mangsa berusia 21 tahun itu berjaya dikeluarkan, namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, empat lagi mangsa lelaki yang menaiki Proton Iswara tercampak ke dalam parit akibat kemalangan dan mengalami kecederaan sebelum dibantu pasukan bomba.

“Semua mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak KKM untuk dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Pemandu Mitsubishi Triton dilaporkan selamat tanpa kecederaan, manakala seorang penumpang wanita mengalami kecederaan dan turut menerima rawatan,” katanya.

Operasi menyelamat membabitkan 14 anggota ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.44 pagi selepas keadaan disahkan selamat, manakala punca kemalangan sedang disiasat pihak polis.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top