Shila Amzah buka mulut isu susut berat badan – “Saya tak potong perut”

Shila Amzah buka mulut isu susut berat badan – “Saya tak potong perut”

Penyanyi Shila Amzah berkongsi kejayaannya menurunkan berat badan sebanyak 12 kilogram tanpa menjalani sebarang pembedahan, sebaliknya melalui amalan pemakanan sihat dan disiplin menjaga gaya hidup.

Diet dan latihan fizikal

Memetik laporan Gempak, Shila berkata, berat badannya kini berada pada 64 kilogram sebagai sebahagian daripada persiapan menjelang Konsert Shila Amzah KITA: 25 Tahun Bersama yang bakal berlangsung di Arena of Stars, Resorts World Genting pada 15 Ogos.

“Alhamdulillah, memang rasa badan lebih ringan sejak berjaya menurunkan berat.
“Saya memang diet bersungguh-sungguh. Latihan fizikal yang saya jalani sekarang pun dah macam atlet. Apa yang pasti, saya tak potong perut,” katanya.

Menurut penyanyi itu, perubahan tersebut dicapai dengan mengurangkan pengambilan gula, meningkatkan rutin senaman, memastikan tubuh mendapat air yang mencukupi serta mengambil suplemen yang bersesuaian mengikut keperluan.

“Bila usia sudah melepasi 30 tahun, banyak perkara yang perlu kita beri perhatian, termasuk pengambilan suplemen,” kongsinya.

Pelantun lagu Patah Seribu itu menjelaskan, usaha menurunkan berat badan bukan hanya untuk kelihatan lebih menarik, sebaliknya bagi memastikan tahap kecergasan dan kualiti vokalnya berada pada prestasi terbaik sepanjang konsert.

Katanya, dia bakal menyampaikan 40 buah lagu pada malam berkenaan, sekali gus memerlukan persediaan fizikal yang lebih menyeluruh.

“Saya turun berat badan demi konsert kerana akan menyanyikan 40 lagu. Jadi, saya perlu pastikan stamina dan keadaan fizikal berada pada tahap terbaik.
“Dengan berat badan sebelum ini, agak sukar untuk saya mengekalkan stamina dan vokal sepanjang persembahan,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Shila turut mendedahkan suaminya, Ubai Mz, banyak mendorongnya untuk menjalani gaya hidup yang lebih aktif.

“Ubai selalu ajak saya berbasikal. Sedar tak sedar, kami sudah berkayuh sejauh 15 hingga 20 kilometer,” ujarnya.

Walaupun berjaya mengurangkan berat badan sebanyak 12 kilogram, Shila mengakui dia masih belum mencapai sasaran yang diinginkan dan kini meletakkan matlamat untuk mencapai berat sekitar 60 kilogram.

Artikel lain: Demi anak-anak dan kerjaya, Shila Amzah bakal bawa keluarga berhijrah ke China

“Saya sasarkan berat badan seperti ketika mula bertapak di China kira-kira 10 tahun lalu, iaitu sekitar 60 kilogram. Rangka badan saya besar.
“Kalau turun lima kilogram pun memang nampak sangat perubahannya. Pada masa sama, suami saya lapan tahun lebih muda. Takkanlah saya nak cepat nampak tua. Jadi, inilah cara saya untuk nampak lebih muda,” tambahnya lagi.

Selain Shila, konsert tersebut turut dimeriahkan dengan penampilan lima artis jemputan iaitu Mimi Fly, Hael Husaini, DJ Fuzz, Balan Kashmir dan Kidd Santhe.

Sumber: Gempak (Asyikin Mayudin)

Scroll to Top