Siput laut dinamakan sempena Vozinha

Siput laut dinamakan sempena Vozinha

Madrid: Kehebatan penjaga gol Cape Verde, Vozinha pada penampilan sulung negaranya di Piala Dunia 2026 terus mendapat pengiktirafan apabila namanya diabadikan sebagai nama spesies baharu siput laut yang ditemui seorang ahli biologi dari Sepanyol.

Ahli biologi, Jesus Ortea menamakan spesies moluska berwarna merah terang yang ditemuinya di Caribbean sebagai Aldisa vozinha sebagai penghormatan kepada aksi cemerlang penjaga gol berusia 40 tahun itu.

Menurut Ortea, pemilihan nama itu dibuat bagi mengenang persembahan luar biasa Vozinha ketika membantu Cape Verde mengikat Sepanyol tanpa jaringan pada aksi sulung mereka di Piala Dunia.

“Kami memilih nama vozinha sebagai penghormatan kepada Vozinha yang memainkan peranan penting ketika penampilan sulung negaranya di Piala Dunia menentang Sepanyol.

“Warna merah spesies ini juga bertujuan memberi penghormatan kepada pencapaian itu,” katanya dalam kertas penyelidikannya.

Vozinha muncul antara bintang kejohanan apabila mempamerkan aksi cemerlang membantu Cape Verde mara ke pusingan 32 terbaik sebelum mereka tersingkir selepas tewas kepada juara dunia, Argentina, dalam masa tambahan.

Ortea yang juga profesor emeritus di Universiti Oviedo mempunyai hubungan rapat dengan Cape Verde hasil penyelidikan yang dijalankan di perairan kepulauan itu sejak sekian lama.

Pada 2023, beliau menerima Pingat Jasa daripada kerajaan Cape Verde sebagai penghargaan terhadap sumbangannya dalam bidang penyelidikan marin di negara berkenaan.

Ahli biologi berusia 75 tahun itu sememangnya terkenal menggabungkan minat terhadap sains dan bola sepak apabila sebelum ini turut menamakan beberapa spesies marin sempena bekas penjaga gol Costa Rica dan Real Madrid, Keylor Navas, serta legenda penyerang Sepanyol, Quini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top