
SPR sahkan PRK Parlimen Pandan dan Setiawangsa tidak akan diadakan. Foto hiasan
SHAH ALAM – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima pemakluman daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul melalui surat bertarikh 20 Mei berhubung status kekosongan luar jangka kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa selepas diisytiharkan kosong di bawah Perkara 51 Perlembagaan Persekutuan.
Pengerusinya, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, berdasarkan Perkara 54 (1) Perlembagaan Persekutuan, Yang Dipertua Dewan Rakyat telah memaklumkan kepada pihaknya bahawa tiada keperluan mengisi kekosongan luar jangka tersebut.
Justeru, kata beliau, tiada pilihan raya kecil (PRK) dijalankan bagi kerusi Parlimen P.100 Pandan dan P.118 Setiawangsa.
“Selaras dengan itu, tiada PRK Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.100 Pandan dan P.118 Setiawangsa akan dijalankan,” katanya ringkas menerusi kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini, Johari mengesahkan menerima notis daripada Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad berhubung peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen Pandan serta Ahli Parlimen Setiawangsa berkuat kuasa Isnin.
Ahad lalu, Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), seterusnya mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing.
Pengumuman itu dibuat oleh kedua-dua bekas menteri berkenaan ketika majlis pengumuman hala tuju politik yang berlangsung di Petaling Jaya.
Rafizi berkata, surat pengosongan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa diserahkan kepada Johari pada Isnin, selain pemakluman rasmi keluar parti kepada Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh pada Selasa.
Kedua-dua pemimpin itu juga mengesahkan mengambil alih Parti Bersama Malaysia (Bersama), iaitu parti politik kecil yang didaftarkan pada 2 Disember 2016 di Georgetown, Pulau Pinang oleh pengasasnya, Tan Gin Theam.



