nurul_husna@mediaprima.com.my
ISU gangguan seksual di Malaysia menunjukkan trend yang semakin membimbangkan.
Berdasarkan statistik rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), sepanjang 2025, sebanyak 1,038 kes gangguan seksual direkodkan.
Ia mencatatkan peningkatan 31.7 peratus berbanding 2024 dan aliran peningkatan ini berterusan memasuki 2026, yang mana 388 kes dilaporkan dalam tempoh Januari hingga Mei lalu.
Di sebalik angka yang tinggi ini, pengenalan Tribunal bagi Antigangguan Seksual (TAGS) di bawah Akta Antigangguan Seksual 2022 [Akta 840] memberikan sinar baharu.
Untuk rekod, sehingga pertengahan 2026, TAGS sudah menerima 100 aduan dengan majoriti kes berjaya diselesaikan dalam tempoh 60 hari.
Bagaimanapun, statistik ini hanyalah sebahagian daripada realiti. Di luar sana, masih ramai mangsa yang memilih untuk memendam rasa dan membisu.
Memetik ulasan pakar psikologi yang juga Pensyarah Kanan Psikologi dan Psikospiritual di Jabatan Kesihatan Komuniti, Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi, Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Mohd Afifuddin Mohamad, tindakan berdiam diri ialah tindak balas normal manusia.
Reaksi itu biasanya terhadap trauma, ketakutan dan ketidakseimbangan kuasa antara pemangsa serta mangsa.
Satu metafora dikongsikan beliau bagi memahami dilema atau senario membabitkan mangsa gangguan seksual dengan pelaku.
“Saya boleh menggambarkan situasi ini seperti seekor rusa yang terperangkap di hadapan seekor harimau.
“Secara logiknya, rusa terbabit boleh melarikan diri, namun ia sering menjadi kaku dan tidak mampu bergerak,” katanya.
Menurut Mohd Afifuddin, dalam psikologi trauma, keadaan ini dikenali sebagai ‘freeze response’ iaitu apabila otak manusia mempunyai mekanisme pertahanan semula jadi iaitu ‘fight’ (lawan), ‘flight’ (melarikan diri) atau ‘freeze’ (kakukan diri).
Kata Mohd Afifuddin, apabila seseorang berhadapan dengan ancaman yang dirasakan terlalu besar, otak boleh bertindak dengan membekukan tindak balas mangsa.
“Sebab itulah ramai mangsa gangguan seksual tidak menjerit, tidak melawan atau tidak terus melaporkan kejadian yang berlaku,” katanya.
Tambah Mohd Afifuddin, ada kalanya gangguan diterima membabitkan pelbagai spektrum menyukarkan mangsa ‘menghadam’ tindakan wajar.
“Gangguan seksual dialami mangsa bukan sekadar membabitkan sentuhan fizikal, malah merangkumi kata-kata lucah, usikan tubuh, mesej tidak senonoh dan penyalahgunaan kedudukan.
“Dalam era digital hari ini, pelaku turut menggunakan media sosial seperti aplikasi WhatsApp, Telegram, TikTok dan Instagram untuk mengganggu mangsa menerusi mesej pada waktu malam atau komen melampaui batas,” katanya.
Mohd Afifuddin turut menjelaskan, berkaitan perspektif pelaku, gangguan seksual sering berkait dengan keinginan untuk mengawal dan mendominasi.
“Pemangsa selalunya menggunakan strategi ‘grooming’ iaitu proses membina kepercayaan sebelum perlahan-lahan melanggar sempadan peribadi mangsa.
“Pemangsa cenderung memilih mangsa yang dilihat kurang berkuasa, lebih muda atau berada dalam kedudukan yang sukar untuk menolak,” katanya.
Menurut beliau, pemangsa juga memahami psikologi ketakutan mangsa lebih baik daripada yang disangka yang mana mereka tahu bahawa mangsa mungkin takut kehilangan pekerjaan, markah akademik, peluang kenaikan pangkat atau reputasi diri.
“Sebab itulah ada pelaku yang sengaja menggunakan kedudukan sebagai penyelia, pensyarah, majikan atau individu berpengaruh untuk mewujudkan ketidakseimbangan kuasa,” katanya.
Mohd Afifuddin menambah, antara kesan kepada mangsa ialah, mangsa terperangkap dalam konflik emosi dan impak dialami juga berpanjangan.
Bagi mangsa, pengalaman ini mencetuskan konflik emosi yang kompleks seperti marah, takut, malu, keliru dan rasa bersalah pada masa yang sama.
“Keadaan ini mendorong kepada menyalahkan diri sendiri, yang sering kali diburukkan lagi oleh budaya masyarakat yang gemar menanyakan tindakan mangsa.
“Tekanan menjadi lebih berat apabila gangguan berlaku di tempat kerja atau institusi pendidikan yang mana mangsa dipaksa untuk berhadapan dengan pelaku yang sama setiap hari,” katanya.
Menurut beliau, akibatnya, mangsa hidup dalam keadaan cemas dan berjaga-jaga.
“Trauma yang tidak dirawat ini boleh mengakibatkan kemurungan, gangguan tekanan pasca trauma (PTSD), serangan panik dan hilangnya keyakinan diri,” katanya.
Mohd Afifuddin menyeru masyarakat mengubah pemikiran terhadap mangsa.
“Sebuah masyarakat yang sihat bukanlah masyarakat yang bertanya mengapa mangsa lambat bersuara, tetapi masyarakat yang bertanya mengapa pemangsa begitu yakin bahawa mangsa tidak akan bersuara,” katanya.
Saluran dan Talian untuk Melaporkan Gangguan Seksual:
Sekiranya anda atau individu yang dikenali menjadi mangsa gangguan seksual, dapatkan hak untuk perlindungan dan bantuan.
Sila simpan semua bukti seperti mesej, tangkap layar, rakaman suara, atau emel untuk menyokong laporan.
Berikut adalah saluran rasmi yang boleh dihubungi untuk membuat aduan atau mendapatkan sokongan emosi:
Talian Kasih KPWKM
Talian: 15999 (Sedia ada 24 jam)
WhatsApp: 019-2615999
Fungsi: Menyediakan sokongan psikososial, khidmat nasihat dan bantuan kecemasan awal bagi mangsa trauma.
Tribunal bagi Antigangguan Seksual (TAGS)
Fungsi: Saluran rasmi di bawah KPWKM yang menyediakan platform alternatif untuk mengendalikan aduan gangguan seksual secara cepat, mudah dan dengan kos yang berpatutan tanpa melalui proses mahkamah sivil yang rumit.
Polis Diraja Malaysia (PDRM)
Talian Kecemasan: 999
Fungsi: Hadir ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan jenayah rasmi.
Kes-kes gangguan seksual akan dikendalikan oleh pegawai terlatih daripada Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (Unit D11).
Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) untuk Sokongan & Kaunseling
Women’s Aid Organisation (WAO): Talian Bantuan WAO (03-3000 8858)
All Women’s Action Society (AWAM): Talian Telenita (016-228 4221)
© New Straits Times Press (M) Bhd




