KEBELAKANGAN ini, banyak restoran yang menggunakan nama Melayu dan Islam didedahkan yang mana ternyata ia sebenarnya dimiliki oleh orang bukan Islam.
Menggunakan nama Melayu dan Islam bagi menarik pengguna Muslim itu sememangnya satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab kerana ia mengelirukan umat Islam yang wajib mencari makanan yang halal lagi suci.
Presiden Persatuan Rakan Strategik MIHA (MyRSMIHA), Ustaz Muhamad Elyas Harun menjelaskan, industri halal terutamanya di Malaysia yang sedang berkembang pesat seiring dengan kesedaran umat Islam memilih makanan yang diyakini halal, menjadikan mereka berbuat demikian.
“Apabila industri halal semkain berkembang dan permintaan semakin banyak, maka akan wujud para pengusaha yang menggunakan nama Melayu atau Islam pada perniagaan mereka untuk menarik pembeli Muslim yang merupakan pengguna terbesar dalam negara.
“Jadi, mereka gunalah pendekatan yang mampu menarik Muslim seperti menggaji pekerja bertudung di barisan hadapan, ada yang menggantung ayat-ayat al-Quran dan ada yang menggunakan frasa seperti Muslim friendly, no pork no lard dan sebagainya,” jelasnya ketika ditemui Sinar Islam Plus di Cyberjaya baru-baru ini.

USTAZ MUHAMAD ELYAS
Menurutnya, pengusaha dalam kalangan bukan Islam tidak sepatutnya menggunakan nama-nama Melayu dan Islam ini, sebaliknya hanya perlu mendapatkan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Langkah terbaik ialah mendapatkan sijil halal Jakim. Gunalah nama apa sekali pun, jika ada sijil halal yang sah di hadapan restoran, pengguna Islam pasti akan masuk membelinya walaupun pemiliknya bukan orang Islam.
“Ini kerana keyakinan umat Islam pada sijil halal ini sememangnya tinggi dan tidak perlu dipersoalkan lagi,” hurainya.
Ujarnya, orang ramai boleh lihat pada restoran dari luar negara yang mempunyai sijil halal Jakim, pasti pengguna Muslim akan memenuhinya.
Risiko diboikot
Beliau yang juga Pengarah UNITI Halal Centre (Uhac) menjelaskan, jika peniaga bukan Islam tetap menggunakan nama Muslim dan tidak memohon sijil halal, pasti akan ada kesan buruk apabila maklumat lanjut berkaitan pemilik didedahkan kepada umum kelak.
“Sekiranya ada pihak yang mendedahkan maklumat lanjut berkaitan pemilik restoran ini, ia pasti akan menimbulkan persoalan besar tentang ketelusan dan kepercayaan pengguna memandangkan maklumat itu boleh diperoleh dengan mudah sekarang ini.

MEMERLUKAN tempoh masa yang panjang untuk menaikkan nama atau jenama, namun hanya sekelip mata untuk memusnahkannya. Foto Canva
“Jika perkara tersebut berlaku, restoran berisiko diboikot dan tidak disokong pengguna Muslim lagi,” katanya.
Jelasnya, bukan mudah untuk membina jenama atau menaikkan nama sesuatu perniagaan tanpa disokong oleh orang ramai.
“Peniaga mengambil masa yang lama untuk menaikkan nama dan jenama masing-masing, namun hanya dengan satu poster atau satu posting di media sosial, usaha yang dibina bertahun-tahun lamanya boleh musnah dalam sekelip mata.
“Bagi mengelakkan perkara ini, pemilik perlu mengambil langkah segera untuk mendapatkan sijil halal Jakim,” tegasnya.
Boleh didenda, dipenjara
Tambahnya lagi, peniaga yang masih berdegil dan terus menggunakan frasa Muslim friendly, no pork no lard atau menggantung ayat-ayat suci al-Quran juga akan berdepan dengan tindakan undang-undang sedia ada di dalam negara.
“Di peringkat Persekutuan, penguatkuasaan boleh dilakukan melalui Akta Perihal Dagangan 2011 manakala kesalahan itu juga boleh didakwa di bawah peruntukan undang-undang syariah negeri.
“Tindakan tegas boleh dikenakan termasuk hukuman denda yang tinggi dan penjara,” katanya.
Bagaimanapun jelasnya, tidak semua restoran yang tidak mempunyai sijil halal itu haram dimakan.
Menjelaskan perkara itu, beliau mengambil contoh premis kecil milik Muslim yang belum mendapatkan sijil halal atas pelbagai faktor, namun makanan yang disediakan masih halal dan bersih.

RESTORAN pemilik bukan Islam kemungkinan diboikot pengguna Muslim jika masih tidak mendapatkan sijil halal Jakim. Foto Canva
“Oleh itu, pengguna juga perlu bersikap adil dan tidak terlaku mudah membuat kesimpulan kerana Islam mengajar umatnya berpegang kepada keyakinan yang jelas.
“Jika yakin makanan yang disediakan itu halal, maka dibolehkan makan dan sebaliknya jika timbul keraguan, maka elakkan dan jauhinya,” katanya.
Perkara ini boleh diguna pakai ketika melancong sama ada di dalam negara atau di luar negara, jelasnya.
“Pilihlah makanan yang jelas statusnya iaitu halal. Dapatkan maklumat yang mencukupi dan jauhi perkara yang menimbulkan syak,” nasihatnya.



