Tak perlu tunggu 2027! Anthony Loke cabar ECRL mula operasi Disember ini

Tak perlu tunggu 2027! Anthony Loke cabar ECRL mula operasi Disember ini

Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kini mencapai kemajuan keseluruhan 95.08 peratus setakat Julai lalu, sekali gus berada pada landasan untuk memulakan operasi komersial jajaran Kota Bharu-Gombak pada Januari 2027.

Bagaimanapun, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, mencabar Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company (CCCC) supaya mempercepatkan proses berkenaan bagi membolehkan ECRL dibuka seawal Disember 2026.

“Saya ingin mencabar pihak MRL dan CCC supaya kita cuba buka ECRL lebih awal daripada yang dijadualkan, iaitu pada awal Disember 2026. Kita harap tidak perlu menunggu sehingga 2027, sebaliknya cuba sedaya upaya untuk memulakan operasi sebelum penghujung tahun ini, tanpa berkompromi terhadap aspek keselamatan.
“Kementerian sedang berbincang untuk memudah cara beberapa proses ujian dan pentauliahan, khususnya FFR tanpa menjejaskan aspek keselamatan bagi membolehkan operasi ECRL dimulakan lebih awal,” katanya.

Tak perlu tunggu 2027! Anthony Loke cabar ECRL mula operasi Disember ini

Beliau berkata demikian pada Majlis Peluncuran Comprehensive Inspection Train (CIT), Pengenalan Konsep Reka Bentuk Stesen-Stesen Utama ECRL serta permulaan Ujian Integrasi Sistem (SIT) dan Fault-Free Run (FFR) Projek ECRL di Stesen ECRL Terminal Bersepadu Gombak, hari ini.

Menurut Loke, perkembangan itu selari dengan jadual penyiapan jajaran Fasa 1 ECRL dari Kota Bharu ke Gombak pada Disember 2026, manakala jajaran Fasa 2 dari Gombak ke Pelabuhan Klang dijangka siap pada Disember 2027.

Katanya, pengoperasian penuh ECRL dijangka bermula pada Januari 2028.

ECRL kini memasuki fasa ujian dan pentauliahan selepas SIT dan FFR bagi jajaran Kota Bharu ke Gombak dimulakan hari ini sebagai persediaan penting sebelum perkhidmatan penumpang bermula.

SIT memberi tumpuan kepada integrasi dan penyelarasan sistem utama kereta api ECRL, termasuk sistem semboyan, komunikasi, bekalan kuasa tarikan serta talian sesentuh atas bagi memastikan semua sistem dapat berfungsi secara bersepadu seperti ditetapkan.

Sementara itu, FFR akan menilai prestasi operasi dan kebolehpercayaan sistem kereta api bersepadu menerusi ujian sejauh 8,000 kilometer.

Ujian itu turut merangkumi penilaian interaksi antara tren dengan sistem utama seperti semboyan, komunikasi dan bekalan kuasa bagi memastikan keseluruhan sistem beroperasi dengan selamat, cekap dan boleh dipercayai.

Bagi menyokong pelaksanaan SIT dan FFR, Pemeriksaan Tren Komprehensif (CIT) turut diperkenalkan bagi menjalankan pemeriksaan serta pengesahan terperinci terhadap infrastruktur dan sistem kereta api ECRL sepanjang program pengujian.

Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Sri Darwis Abdul Razak, berkata tren CIT mampu merekod parameter geometri landasan, memeriksa sistem semboyan serta meneliti sistem aliran elektrik Overhead Catenary System (OCS) di sepanjang jajaran ECRL sejauh 665 kilometer.

“Tren CIT mampu beroperasi pada kelajuan sehingga 160 kilometer sejam dan turut dilengkapi pelbagai kemudahan seperti bilik kawalan, bilik persidangan, bilik solat, ruang makan, kabin kelas perniagaan, bilik multimedia dan tandas,” katanya.

Dalam pada itu, konsep reka bentuk stesen-stesen utama ECRL turut diperkenalkan, menampilkan identiti seni bina yang diinspirasikan daripada budaya tempatan, warisan dan identiti seni bina negeri masing-masing selain memenuhi keperluan sistem rel moden.

Majlis berkenaan turut menyaksikan pengenalan pakaian seragam baharu kru tren dan kru perkhidmatan stesen ECRL sebagai gambaran awal petugas barisan hadapan yang akan memberikan perkhidmatan kepada penumpang.

Artikel lain: Malaysia raih potensi pelaburan RM905 juta hasil lawatan PM Anwar ke China

Turut hadir Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah; Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi MRL, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing; Presiden CCCC, Zhang Bingnan dan Pengarah Urusan CCCECRL, Deng Bo.

Sementara itu, Bingnan berkata permulaan SIT dan FFR menandakan satu lagi langkah penting ke arah penyiapan, penyerahan dan pengoperasian ECRL.

Beliau berkata, CCCECRL akan terus memacu kemajuan projek dengan mengutamakan standard, kualiti dan kecekapan tinggi bagi merealisasikan sistem kereta api yang mampu bertahan untuk jangka panjang.

Sumber: BH Online (Rafhanah Hazirah Ramlin)

Scroll to Top