
Del Fuente yakin Sepanyol mampu bangkit mencipta kemenangan pada perlawanan seterusnya. Foto Agensi
KETUA jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente menggesa semua pihak agar tidak panik selepas pasukannya sekadar seri tanpa jaringan dengan Cape Verde dalam aksi pembukaan Kumpulan H di Piala Dunia.
Juara Eropah itu menguasai permainan dan mencipta beberapa peluang terbaik, namun gagal memecah kebuntuan apabila Cape Verde mempamerkan aksi bertahan yang tersusun dan berdisiplin.
Mengulas keputusan tersebut, De la Fuente mengakui anak buahnya kurang tajam dalam penyudah, namun menegaskan mereka perlu terus berpegang kepada pendekatan yang sama sambil meningkatkan kualiti permainan di sepertiga akhir padang.
“Situasi ini hanya boleh diatasi dengan terus berpegang kepada idea yang sama dan memperkemaskan lagi permainan.
“Kami berjaya mencipta banyak peluang tetapi kurang ketajaman yang diperlukan dalam perlawanan seperti ini.
“Cape Verde adalah pasukan yang sangat teratur. Mereka bertahan dengan blok rendah dan keadaan itu menyukarkan kami untuk mencari ruang.
“Bagaimanapun, kami tetap menghasilkan beberapa peluang. Mungkin pergerakan bola perlu lebih pantas untuk membuka ruang, tetapi ada masanya bola seolah-olah enggan menerjah jaring walaupun pelbagai usaha dilakukan,” katanya.
De la Fuente turut menegaskan bahawa keputusan itu tidak mengubah keyakinannya terhadap kemampuan Sepanyol untuk bangkit dalam perlawanan seterusnya.



